KUANTAN – Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdulah (UMPSA) terus cemerlang apabila empat subjek universiti ini tersenarai dalam kelompok terbaik dunia dalam Times Higher Education (THE) World University Rankings by Subjects 2025 yang diumum baru-baru ini.
Menurut Naib Canselor UMPSA, Prof. Dr Yatimah Alias berkata, lebih membanggakan buat pertama kalinya subjek perniagaan dan ekonomi ersenarai dalam kelompok 251–300 terbaik dunia.
Subjek lain yang tersenarai ialah sains fizikal di tangga 501–600, sains komputer di tangga 601–800 dan kejuruteraan juga berada di kedudukan 601–800 terbaik dunia.
”Sebagai sebuah universiti terbaik dalam Rangkaian Teknikal Malaysia (MTUN), UMPSA dilihat sentiasa komited mencipta inovasi dan keunikan dalam penawaran program akademik melalui jalinan strategik di peringkat antarabangsa,” katanya.
Ujarnya, pencapaian ini menggambarkan usaha berterusan UMPSA untuk terus merealisasikan aspirasi kecemerlangan menerusi pemerkasaan akademik, pengantarabangsaan dan hasil penyelidikan berimpak serta menghasilkan graduan cemerlang untuk menjadi modal insan berkualiti dalam memacu pembangunan negara.
Dr. Yatimah berkata penarafan ini dinilai menerusi aspek pengajaran, persekitaran penyelidikan, kualiti penyelidikan, industri dan pandangan antarabangsa.
“Universiti menawarkan pelbagai program teknikal berteraskan Kejuruteraan dan Teknologi yang berupaya memperkaya ekosistem Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) termaju di negara ini.
”Misalannya program kerjasama program ijazah dual dengan Karlsruhe University of Applied Science (HKA), Jerman yang masuk ke tahun ke-15 dilihat sebagai tanda aras terbaik kepada universiti di Malaysia,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Sehingga kini, UMPSA merupakan satu-satunya universiti awam yang telah melaksanakan 11 program Ijazah Dual dengan kerjasama rakan strategik, Karlsruhe University of Applied Sciences (HKA) dan Mannheim University of Applied Sciences (HMA) Jerman, BJTU dan Tianjian University, China, Kazakh National Agrarian Research University (KazNARU), Kazakhstan dan yang terkini dengan Hanyang University Erica Campus Korea Selatan.
Kecemerlangan penarafan bagi subjek Perniagaan dan ekonomi ini pula disokong oleh pendekatan holistik yang menggabungkan program akademik dan penyelidikan berasaskan pengurusan serta elemen teknikal.
Pendekatan ini bukan sahaja memperkukuh kedudukan UMPSA sebagai sebuah institusi teknikal unggul, malah menyerlahkan kebolehannya dalam memperkayakan elemen pengurusan strategik yang selari dengan keperluan industri global dan perkembangan semasa.
Selain itu, Program Sarjana Muda Pengurusan Projek dengan Kepujian yang ditawarkan oleh Fakulti Pengurusan Industri (FPI) telah menerima pengiktirafan antarabangsa apabila memperoleh akreditasi penuh daripada Project Management Institute, Global Accreditation Center (PMI GAC).
Pengiktirafan ini menjadi bukti kukuh terhadap komitmen UMPSA dalam menyediakan program berkualiti tinggi yang memenuhi piawaian global, seterusnya memperkukuhkan daya saing graduan di peringkat antarabangsa. – MalaysiaGazette