Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh bergambar kenangan selepas hadir pada Sesi Penyerahan Projek Naik Taraf Kemudahan Sukan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di Gelanggang Bola Keranjang, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 27 JANUARI 2025

KUALA LUMPUR – Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh meluahkan rasa sedih selepas bekas penerjun wanita negara, Wendy Ng, meninggalkan Malaysia untuk menjadi jurulatih di Singapura.

Wendy yang bersara pada April tahun lepas, kini memegang jawatan sebagai jurulatih pembangunan bakat di bawah Akuatik Singapura.

“Saya rasa sedih melihat Wendy melatih Singapura, tetapi bukan dia seorang sahaja.

“Ramai gimnas kita juga telah ke sana untuk melatih,” katanya kepada media selepas Sesi Penyerahan Projek Naik Taraf Kemudahan Sukan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Hannah berkata, sukar untuk pihaknya menghalang penghijrahan jurulatih kerana tawaran gaji dari luar negara jauh lebih menarik.

“Dengan kadar tukaran kepada ringgit, tawaran luar negara memang sangat menarik.

“Tetapi apa yang kita mahu lakukan ialah menarik mereka kembali ke Malaysia. Sebab itu, tahun lalu kita menaikkan gaji jurulatih kebangsaan,” ujarnya.

Kenaikan gaji jurulatih pada tahun lalu menyaksikan jurulatih bertauliah tahap tiga menerima kenaikan gaji asas daripada RM4,500 kepada RM5,900 sebulan.

Elaun khas juga diperkenalkan kepada jurulatih yang pernah memenangi pingat Olimpik (RM3,500) atau kejuaraan dunia (RM3,000).

Bagaimanapun, Hannah mengakui terdapat jurang gaji dalam sukan seperti badminton dan bola sepak  yang menyebabkan Malaysia ketinggalan dibandingkan dengan negara lain.

“Bidang sukan sangat kompetitif. Kita perlu memastikan jurulatih diberi imbuhan yang sewajarnya. Jika tidak, kita berisiko kehilangan lebih ramai jurulatih,” tambahnya.

Antara nama besar jurulatih yang kini melatih di luar seperti Lee Wan Wah (Jepun), Tan Kim Her (India), Wong Choong Hann, Jeremy Gan, Tan Bin Shen (semuanya di Hong Kong) untuk badminton; Ong Beng Hee (China), Timothy Arnold (Singapura) bagi skuasy; K. Dharmaraj (Indonesia), A. Arulselvaraj (Ireland) hoki dan berbasikal: Josiah Ng (Thailand), Rizal Tisin (Singapura). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here