MELAKA – Ketua Pembangkang Melaka membidas cadangan pemimpin DAP negeri untuk menjadikan Jalan Hang Tuah yang telah menjadi tapak perniagaan yang baik khususnya bagi masyrakat Melayu sebagai Jonker Walk 2.0.
Dr. Yadzil Yaakub yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bemban berkata, cadangan ADUN Kota Laksamana, Low Chee Leong itu atas alasan untuk menjenamakan semula jalan berkenaan bagi menarik kunjungan pelancong tidak sepatutnya timbul.
“Nama Hang Tuah perlu dikekalkan sebagai lambang kepada sejarah Melaka malah sepatutnya nama-nama jalan di Melaka perlu menggunakan nama-nama dalam sejarah Melayu Kesultanan Melaka sebagai tanda nasionalisme dan kesetiaan kepada negara.
“DAP seharusnya teruskan usaha mereka dulu yang keras menentang penutupan jalan di Banda Hilir sehingga merugikan peniaga-peniaga sekitar serta menyusahkan pelancong,” katanya menerusi kenyataan di Facebook rasminya hari ini.
Semalam, MalaysiaGazatte melaporkan cadangan DAP untuk wujudkan Jonker Walk 2.0 di Jalan Hang Tuah selepas kejayaan pasar malam yang turut mendapat jolokan ‘China Town’ di Jalan di Hang Jebat itu sejak 25 tahun mendapat perhatian pelancong dari serata dunia.
Chee Leong berkata, kawasan yang mungkin boleh dikenali sebagai Jonker Walk 2.0 itu berpotensi merancakkan lagi ekonomi peniaga dan masyarakat setempat kerana mempunyai ruang siar kaki yang lebih luas berbanding Jonker Walk sedia.
Mengulas lanjut, Dr Yadzil turut mempersoalkan mengapa DAP terus berdiam diri dari memperjuangkan nasib peniaga-peniaga ini setelah bergabung dengan kerajaan negeri Melaka
“Jangan jadikan Jalan Hang Tuah yang telah menjadi tapak perniagaan yang baik terutama untuk orang Melayu sebagai kawasan ganti Jonker Walk yang terjejas akibat car free zone.
“Lupakanlah niat itu. Tidak perlu penjenamaan semula pada malam setiap Jumaat, Sabtu dan Ahad itu untuk menarik pelancong yang ada,” katanya – MalaysiaGazette