LONDON – Kapten Manchester City, Kyle Walker menyertai AC Milan secara pinjaman sehingga akhir musim ini, lapor Sky Italy.
AC Milan memberitahu, kelab itu mempunyai pilihan untuk membeli bek kanan England itu dengan Sky Italy berkata Walker akan bernilai kira-kira 4.2 juta pound (RM22.92 juta).
Pemain 34 tahun membuat 319 penampilan untuk skuad kendalian Pep Guardiola dan kali terakhir beraksi ketika kemenangan 4-1 ke atas West Ham dalam saingan Liga Perdana Inggeris pada 4 Januari lalu.
Walker yang berpindah ke Etihad dari Tottenham Hotspur pada tahun 2017 mempunyai baki 18 bulan kontrak selepas menandatangani lanjutan tiga tahun pada tahun 2023.
“Menyertai kelab hebat ini pada tahun 2017 adalah impian menjadi kenyataan. Tujuh tahun kemudian, memenangi 17 trofi termasuk Liga Juara-Juara Eropah dan treble adalah sesuatu yang saya hanya mampu impikan ketika kanak-kanak.
“Kepada Pep, terima kasih kerana mempercayai saya dan bekerja keras untuk membawa saya ke sini pada tahun 2017.
“Bersama kami meraikan 17 trofi, dan bimbingan anda membantu membentuk saya menjadi pemain seperti hari ini. Saya amat menghargainya,” kata Walker yang turut menjadi buruan beberapa kelab lain selain Milan.
Walker turut mendedahkan faktor yang mempengaruhi keputusannya untuk memilih kelab gergasi Serie A itu.
“Tammy (Abraham) beritahu saya patut datang dan dia membantu saya membuat keputusan. Penyokong Milan sangat menakjubkan, mendengar mereka menyanyi, ia pasti menyentuh emosi dan saya memilih nombor 32 untuk David Beckham,” katanya.
Abraham yang bermain untuk Milan sejak permulaan musim menyertai kelab itu secara pinjaman dari Roma.
Dia turut mengumpul 11 penampilan bersama England bergandingan dengan Walker dan kali terakhir pada tahun 2022.
Dia antara salah seorang pemain Inggeris dalam skuad Milan, yang turut disertai Fikayo Tomori, Ruben Loftus-Cheek dan kini Walker.
Beckham membuat 33 penampilan untuk Milan, menjaringkan dua gol, ketika dia menyertai kelab itu secara pinjaman dari LA Galaxy. – Agensi