KUALA LUMPUR – Persatuan Ulama Malaysia (PUM) tidak bersetuju dengan penjualan arak yang terus dibenarkan beroperasi secara terbuka khususnya dalam kawasan majoriti Muslim di negara ini.
Yang Dipertua PUM, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abd Aziz berkata, kenyataan oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming yang menyokong kelangsungan penjualan arak jelas tidak mencerminkan hasrat majoriti rakyat yang mahu pengawalan yang lebih ketat terhadap penjualan minuman keras ini.
Tegas beliau, tindakan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) yang berusaha untuk meluaskan larangan jualan arak di kawasan mereka sepatutnya dipuji, terutamanya di kawasan majoriti Melayu Muslim, yang mana arak adalah haram menurut hukum Islam.
“PUM melihat bahawa MBI telah mengambil langkah yang amat rasional dan sangat menghormati kedudukan orang bukan Islam apabila pewartaan mengenai larangan penjualan arak hanya melibatkan kawasan tertentu sahaja yang majoriti Muslim, dan tidak melibatkan keseluruhan kawasannya.
“Mengekang penjualan arak bukan hanya seiring dengan ajaran agama Islam, tetapi juga bertepatan dengan norma moral masyarakat yang lebih luas.
“Ramai sudah menyedari arak boleh mendatangkan mudarat, seperti kemalangan jalan raya, keganasan rumah tangga, hubungan terlarang, dan pelbagai masalah sosial yang lain,” katanya dalam kenyataan di sini.
Wan Mohamad menambah, masih terdapat kedai yang menjual arak tanpa kaunter khusus, malah pekerja Muslim terpaksa mengendalikannya.
Lantaran itu, PUM mendesak kerajaan agar menguatkuasakan kawalan ketat penjualan arak hanya dibenarkan dengan kaunter khas dan tidak melibatkan pekerja Muslim.
Ini adalah langkah-langkah kawalan yang amat perlu bagi memastikan penjualan arak tidak mengganggu ketenteraman dan keharmonian masyarakat, ujarnya sambal meminta kerajaan berani bertindak tegas dalam isu ini sebagai langkah memperkasa masyarakat sivil yang baik, selaras dengan agenda Madani yang diingini oleh kerajaan.
Awal tahun ini, MBI bercadang untuk meluaskan larangan penjualan arak atau minuman keras secara runcit dan borong di kawasan dengan majoriti penduduk Melayu beragama Islam di pentadbirannya.
Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, ini berikutan ada beberapa cadangan dan tuntutan dikemukakan beberapa pihak berhubung perkara itu.
Namun, kelulusan cadangan itu bergantung kepada jumlah tuntutan yang disuarakan penduduk dan keperluan semasa di kawasan berkenaan.
Ketika ini, penguatkuasaan larangan itu hanya terpakai di kawasan Gugusan Manjoi.- MalaysiaGazette