Hamzah (depan) menunjukkan senjata api yang dirampas pada sidang media di Pulau Pinang hari ini.

GEORGE TOWN – Empat nelayan termasuk dua warga Indonesia yang terlibat dalam kegiatan penyeludupan senjata api diberkas bersama lima pucuk pistol, selaras raifal dan ratusan peluru di perairan negeri ini semalam.

Tangkapan ke atas empat lelaki berusia 22 hingga 57 tahun bersama dua bot gentian kaca itu dilakukan unit risikan Pasukan Polis Marin Wilayah Satu Batu Uban kira-kira pukul 3.10 petang di satu batu nautika dari Barat Daya, Sungai Perai.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, bot tanpa nombor pendaftaran itu dikesan bergerak dalam keadaan mencurigakan dari arah pelabuhan menghala Jambatan Pulau Pinang.

Hamzah bercakap pada sidang media hari ini.

“Hasil pemeriksaan awal ke atas salah sebuah bot yang dikendalikan dua warga asing itu membawa kepada penemuan senjata api termasuk pistol, kelopak pistol dan ratusan peluru.

“Antara yang dirampas dua pucuk pistol jenama Sig Sauer berserta tiga kelopak, dua pucuk pistol jenama Glock berserta dua kelopak dan sepucuk pistol jenis Smith & Wesson berserta satu kelopak.

“Selain itu, kita juga merampas selaras raifal jenis M4 Carbine Cal / 5.56 nato 1:8 5.6mm, lapan kelopak M4 dan 600 butir peluru M4, empat kotak peluru 9mm bertulis bullet master yang setiap satunya berisi 50 butir,” katanya pada sidang media di Markas Pasukan Polis Marin Wilayah Satu Batu Uban hari ini.

Mengulas lanjut, Hamzah berkata, hasil siasatan mendapati kesemua senjata api bersama peluru itu dipercayai diseludup masuk dari Thailand melalui jalan laut untuk pasaran gelap negara ini.

Kesemua senjata api itu dipercayai untuk dijual pada pasaran gelap dalam negara.

“Ini adalah kali pertama cubaan penyeludupan itu dilakukan dan siasatan masih diteruskan bagi mengenalpasti sekiranya ada ahli sindiket lain terlibat sama.

“Semakan kita mendapati dua warga Indonesia itu memasuki negara ini melalui jalan sah sebelum melakukan jenayah tersebut,” katanya.

Kesemua suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini hingga 3 Februari depan bagi  membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 7 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here