Teknologi AI terbaharu dari firma China, DeepSeek

NEW YORK- Startup kecerdasan buatan (AI) dari China, DeepSeek telah mencetuskan kejatuhan nilai saham teknologi Amerika Syarikat dan Eropah sebanyak AS$1 trilion (RM4.38 trilion) selepas pelabur mempersoalkan penilaian melambung beberapa syarikat terbesar Amerika.

Model AI terbaru DeepSeek melonjak ke puncak carta App Store Apple hujung minggu lalu, mencabar model-model yang lebih mahal seperti OpenAI.

Ia juga menimbulkan persoalan mengenai perancangan perbelanjaan sebanyak ratusan bilion oleh syarikat-syarikat seperti Microsoft Corp, Meta Platforms Inc, dan Alphabet Inc dalam teknologi AI.

DeepSeek turut menyebabkan pengeluar cip AI, Nvidia Corp menjadi tumpuan pemerhati pasaran apabila syarikat paling bernilai di dunia itu mengalami kejatuhan lebih 10 peratus dalam dagangan pra-pasaran pada Isnin.

Sedangkan, syarikat tersebut merupakan syarikat bernilai tertinggi di dunia apabila sahamnya melonjak sembilan kali ganda dalam tempoh dua tahun lalu.

Kejatuhan yang dialami syarikat yang berpangkalan di Santa Clara, California itu mampu melenyapkan kira-kira AS$340 bilion nilai pasaran sekiranya prestasi buruk itu berterusan semasa sesi dagangan biasa.

Futures Nasdaq 100 jatuh sehingga 5.2% dalam dagangan semalaman sebelum mengurangkan kerugian kepada 3.5% setakat jam 8.30 pagi di New York.

Ini menandakan penurunan intrahari terbesar untuk kontrak tersebut sejak Ogos.

Di Eropah, saham teknologi memimpin kerugian pasaran, dengan saham pengeluar peralatan cip ASML Holding NV jatuh sehingga 12%.

Indeks Volatiliti Cboe, yang dikenali sebagai VIX, melonjak kepada 21.5. Nasdaq 100 dan sub-indeks teknologi Stoxx 600 Eropah bersama-sama menghadapi kemungkinan kehilangan kapitalisasi pasaran sebanyak AS$1.2 trilion jika kerugian ini berterusan.

“DeepSeek menunjukkan bahawa adalah mungkin untuk membangunkan model AI yang berkuasa pada kos yang lebih rendah.

“Ia berpotensi menggugat pelaburan untuk keseluruhan rantaian bekalan AI, yang dipacu oleh perbelanjaan tinggi daripada segelintir syarikat berskala mega,” kata Vey-Sern Ling, pengarah urusan Union Bancaire Privee.

Model kecerdasan buatan (AI) dari DeepSeek — yang diasaskan oleh ketua dana kuantitatif, Liang Wenfeng, kini dianggap setanding dengan model terbaru OpenAI dan Meta.

Model ini mendapat pujian daripada pelabur terkenal, Marc Andreessen, yang menyifatkannya sebagai “salah satu pencapaian paling mengagumkan.”

Aplikasi DeepSeek menonjol kerana ia memaparkan cara kerja dan alasan di sebalik jawapannya kepada soalan atau arahan pengguna.

Dilancarkan minggu lalu, produk ini kini menduduki tangga teratas di carta App Store Apple, dengan ramai pengguna memuji ketelusan yang ditawarkannya.

Dalam pada itu, saham berkaitan AI di China menunjukkan peningkatan positif, termasuk Merit Interactive Co, yang disenaraikan di tanah besar China.

Merit Interactive melonjak ke had harian selepas sebelum ini mengumumkan bahawa ia menggunakan model AI DeepSeek dalam pemasarannya. Di Hong Kong, Indeks Teknologi Hang Seng naik sehingga 2% menjelang cuti Tahun Baru Cina minggu ini.

Namun, perdagangan saham berkaitan AI di tempat lain menunjukkan penurunan apabila pelabur mula menilai semula keperluan kuasa pengkomputeran dan tenaga. Siemens Energy AG, salah satu peneraju AI di Eropah, mengalami penurunan sebanyak 22%.- AGENSI

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here