KUALA LUMPUR – Seorang maut manakala empat lagi cedera ringan selepas menceroboh landasan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di laluan antara Teluk Pulai dan Klang hari ini.
Susulan kejadian itu operasi perkhidmatan KTMB telah mengalami kelewatan lebih 60 minit pagi tadi.
“Tren komuter nombor 2110 berlepas dari Stesen Jalan Kastam pada pukul 6.39 pagi dengan kapasiti seramai 200 penumpang terpaksa berhenti akibat terlanggar penceroboh di Kilometer 34.734 antara Teluk Pulai-Klang.
“Para penumpang dibawa ke Stesen Klang diiringi anggota polis bantuan dan kakitangan KTMB yang bertugas untuk menaiki bas perantara yang disediakan di stesen untuk ke Stesen Subang Jaya,” kata KTMB dalam kenyataan.
Ekoran itu, tren tersebut mengalami kerosakan an menyebabkan kelewatan dan lokomotif bantuan telah dihantar untuk membawa tren komuter yang terjejas bagi membolehkan kerja-kerja pengalihan mayat dilakukan agar perkhidmatan tren kembali beroperasi seperti biasa.
Ketua Pegawai Operasi KTMB, Mohd Zain Mat Taha menegaskan, landasan keretapi adalah kawasan larangan dan individu yang mencerobohnya boleh dikenakan denda RM500 di Bawah Seksyen 126, Akta Pengangkutan Awam Darat 2010. – MalaysiaGazette