Sumber DOSM

KUALA LUMPUR- Harga eksport Malaysia pada Disember 2024 meningkat 1.1 peratus daripada 149.1 mata pada bulan sebelumnya kepada 150.7 mata, lapor Indeks Perdagangan Luar Negeri Disember 2024.

Manakala harga import naik 0.9 peratus daripada 126.9 mata kepada 128.0 mata dan terma perdagangan Malaysia bertambah 0.2 peratus bulan ke bulan kepada 117.7 mata pada Disember 2024.

Indeks Perdagangan Luar Negeri memaparkan statistik indeks nilai seunit, indeks volum dan terma perdagangan meliputi 10 seksyen komoditi produk barangan selaras dengan Klasifikasi Standard Perdagangan Antarabangsa (SITC).

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin menjelaskan, indeks nilai seunit eksport menginjak naik 1.1 peratus pada Disember 2024 berbanding bulan sebelumnya.

Ia disumbangkan oleh peningkatan indeks minyak & lemak binatang & sayur- sayuran (+8.3%), minyak galian (+0.7%) dan alat jentera & kelengkapan pengangkutan (+0.5%). Pada masa yang sama, indeks volum eksport turut naik 8.5 peratus selaras dengan kenaikan indeks minyak galian (+13.0%), alat jentera & kelengkapan pengangkutan (+12.7%) dan barang-barang keluaran kilang (+11.6%).

Indeks volum eksport pelarasan bermusim berkembang 3.1 peratus daripada 159.0 mata kepada 163.9 mata. Merujuk kepada perbandingan tahunan, indeks nilai seunit dan indeks volum masing-masing bertambah 1.8 peratus dan 14.8 peratus.

Indeks nilai seunit import naik 0.9 peratus pada Disember 2024, disumbangkan oleh kenaikan indeks minyak galian (+4.1%), makanan (+0.7%) dan barang-barang keluaran kilang (+0.4%).

Begitu juga, indeks volum import melonjak 6.3 peratus pada Disember 2024 berbanding bulan sebelum, disumbangkan oleh peningkatan dalam indeks alat jentera & kelengkapan pengangkutan (+10.4%), bahan kimia (+7.2%) dan barang-barang keluaran kilang (+6.0%).

Indeks volum import pelarasan bermusim turut naik 1.0 peratus daripada 199.4 mata kepada 201.4 mata. Perbandingan tahun ke tahun menunjukkan indeks nilai seunit import menyusut 0.5 peratus dan indeks volum bertambah 12.5 peratus.

Terma  perdagangan  Malaysia  berkembang  0.2  peratus  bulan  ke  bulan  kepada 117.7 mata pada Disember 2024, didorong oleh kenaikan indeks minyak & lemak binatang & sayur-sayuran (+5.3%), bahan mentah tidak boleh dimakan (+3.3%) dan alat jentera & kelengkapan pengangkutan (+0.4%).

Sementara itu, terma perdagangan Malaysia tahun ke tahun menokok 2.4 peratus daripada 115.0 mata pada Disember tahun lalu.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here