Kelihatan seorang wanita berjalan melintasi bendera MCA ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette sempena Pilihan Raya Kecil N. 47 Balakong di sekitar kawasan Seri Kembangan, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 27 OGOS 2018

JOHOR BAHRU – MCA Johor hari ini tampil memohon maaf khususnya kepada seluruh umat Islam atas perkongsian status menghina dan memperlekeh agama Islam dalam Facebook parti tersebut, Ahad lalu.

MCA Johor dalam satu kenyataan memberitahu, hantaran itu dibuat tanpa sengaja oleh seorang pentadbir Facebook parti berkenaan.

“Perkongsian terbabit dibuat tanpa memaklumkan kepada pemimpin utama MCA Johor. Pentadbir yang telah lama bersara dari pejabat MCA Johor itu mengakui tersilap berkongsi status daripada pihak lain yang bukan ditulis oleh MCA Johor atau mana-mana pemimpin MCA.

“Pentadbir tersebut juga telah pun dikeluarkan daripada memiliki akses Facebook MCA Johor dan kini ia dikendalikan oleh pentadbir baharu sahaja.

“Status ‘page’ yang menimbulkan kontrovesi itu juga telahpun diturunkan serta-merta setelah aduan-aduan diterima semalam,” menurut kenyataan itu hari ini.

Kenyataan yang dikeluarkan MCA Johor

Sebelum itu, MCA Johor kelmarin, menerusi akaun Facebooknya memuat naik status menyatakan kerajaan sudah menyediakan dana untuk membantu rakyat Palestin, selain peruntukan kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan bagi tujuan percetakan al-Quran, namun untuk tol percuma Tahun Baru Cina, tidak diberikan.

Perbandingan itu, menurut pelbagai pihak menimbulkan sangkaan jahat dan membina persepsi salah terhadap bantuan yang diterima umat Islam dan rakyat Palestin.

Mengulas lanjut, MCA Johor memaklumkan, parti berkenaan tidak pernah berniat hendak mengguris perasan umat Islam dan menghina agama Islam.

“Kami di MCA Johor tidak pernah terlintas dan tiada niat untuk mengguris hati, jauh sekali menghina atau memperlekehkan agama Islam atau mana-mana agama dan kaum di negara ini.

“Sekali lagi, MCA Johor memohon maaf kepada seluruh umat Islam di Malaysia di atas apa yang berlaku.

“MCA Johor akan lebih berhati-hati dan memastikan kejadian sama tidak berulang lagi,” jelas kenyataan itu lagi.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN

Pertikai keperluan bajet pembangunan al-Quran: Akmal gesa MCA mohon maaf  

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here