KUALA LUMPUR – Setakat jam 2.45 petang hari ini jumlah kenderaan di Lebuh Raya Sungai Besi (BESRAYA) menghala ke arah Seremban semakin meningkat tetapi trafik masih lagi lancar.
Tinjauan MalaysiaGazette sejak jam 10.00 pagi tadi mendapati keadaan lalu lintas masih terkawal dan lengang pada waktu pagi.
Keadaan di kawasan keluar tol juga tidak menunjukkan sebarang kesesakan, memudahkan perjalanan pengguna jalan raya yang bergerak keluar-masuk kawasan tol.
Sementara itu, tinjauan di beberapa stesen minyak sepanjang lebuh raya mendapati keadaan masih terkawal tanpa kesesakan yang ketara.
Bagaimanapun, masih terdapat beberapa kenderaan berat seperti lori yang dikesan menggunakan laluan ini walaupun larangan operasi kenderaan berat telah dikuatkuasakan sejak semalam.
Larangan itu telah dikuatkuasakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia sebagai usaha memastikan kelancaran trafik terutamanya pada musim perayaan Tahun Baru Cina.
Pelaksanaan ini bertujuan mengurangkan risiko kesesakan, terutama di kawasan tumpuan tinggi.
Langkah ini penting untuk memberikan laluan kepada kenderaan ringan, memandangkan peningkatan mendadak dalam jumlah kenderaan dijangka akan berlaku menjelang waktu puncak petang ini. – MalaysiaGazette