MELAKA – Seorang bapa bersama dua anak lelakinya diberkas polis selepas dipercayai terlibat dalam sindiket pengedaran dadah sekitar Muar, Johor dan Jasin di sini sejak tahun lalu.
Pemangku Ketua Polis Melaka Datuk Md Nazri Zawawi berkata, ketiga-tiga suspek, lelaki berusia 49 tahun dan dua anaknya, pelajar sebuah sekolah menengah di Muar dan pelajar kolej swasta masing-masing berusia 17 dan 20 tahun diberkas, Ahad lalu.
Menurutnya, serbuan dilakukan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin di sebuah rumah di Muar pada jam 8 malam.
“Pemeriksaan dalam rumah menjumpai pelbagai jenis dadah iaitu heroin seberat 23,372 gram, syabu (10,200 gram) dan 275 biji pil eramin 5, keseluruhannya bernilai RM556,271.
“Polis turut menyita harta milik kesemua suspek iaitu sebuah kereta jenis Toyota Camry, barang kemas dan wang tunai kesemuanya berjumlah RM56,050 menjadikan nilai kesemua rampasan dianggarkan RM612,321,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut Md Nazri berkata, kesemua dadah yang dirampas dipercayai untuk pasaran tempatan yang bileh digunakan seramai 442,860 penagih.
“Hasil ujian saringan air kencing yang dijalankan mendapati tiga beranak itu bebas dari sebarang penyalahgunaan dadah namun suspek lelaki berusia 49 tahun mempunyai dua rekod jenayah lampau.
“Dua anaknya, pelajar sekolah menengah di Muar dan penuntut kolej swasta di Kuala Lumpur bagaimanapun tiada sebarang rekod jenayah,” katanya.
Tambahnya, kesemua tiga beranak itu direman selama tujuh hari bermula 27 Januari sehingga 2 Februari ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana kesalahan mengedar dadah.
Sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman mati atau penjara seumur hidup. – MalaysiaGazette