Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai bercakap pada sidang media berkenaan rumah terbuka Tahun Baru Cina Parti Gerakan di Dewan Wawasan Tun Dr Lim Keng Yaik, Menara PGRM, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 29 JANUARI 2025.

KUALA LUMPUR – Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) di bawah Perikatan Nasional (PN) bersedia untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang akan dijangka diadakan tahun ini.

Presidennya, Datuk Dr Dominic Lao Hoe Chai berkata, parti itu memiliki keanggotaan dan kepimpinan kukuh di Sabah, termasuk pengalaman memegang jawatan Timbalan Ketua Menteri Sabah sebelum ini.

“Kami sudah bersedia dalam PRN Sabah. Gerakan mempunyai akar umbi, kepimpinan serta barisan yang bersiap sedia di sana,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina 2025 di Menara PGRM, di sini, hari ini.

Bagi mengoptimumkan sumber yang terhad, PN dan Gerakan akan menumpukan kepada satu kerusi Parlimen serta dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang berpotensi untuk dimenangi.

“Kami bukan lagi kerajaan, jadi sumber yang ada perlu digunakan dengan cermat.

“Kawasan bertanding telah dikenal pasti dan kami akan memberi fokus untuk menang di kawasan berkenaan.

“Selain PRN Sabah, PN turut memberi perhatian kepada persiapan untuk Pilihan Raya Umum (PRU) yang akan datang, termasuk di negeri-negeri seperti Melaka dan Johor. Namun, keutamaan ketika ini adalah PRN Sabah sebelum merangka strategi bagi peringkat nasional,” tambahnya.

Beliau yakin PN mampu meraih sokongan rakyat, terutamanya dalam kalangan Bumiputera bukan Muslim di Sabah.

“Hal ini kerana ketidakpuasan hati terhadap kerajaan semasa dan tekanan ekonomi.

“Masyarakat berhadapan dengan kos sara hidup yang tinggi selain banyak janji politik tidak ditepati dan ini membuka peluang kepada kami untuk menawarkan alternatif lebih baik dalam pilihan raya akan datang,” ujarnya.

PN dan Gerakan juga kini dalam fasa memilih calon untuk bertanding tetapi katanya, kerja-kerja untuk mendapatkan sokongan dan kepercayaan telah pun diarah serta dijalankan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here