KUALA LUMPUR – Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong sekali lagi tampil memohon maaf berikutan satu status Facebook dimuat naik oleh pentadbir Facebook MCA Johor yang didakwa menghina serta memperlekehkan agama Islam.
Kata Ka Siong, perkara itu merupakan satu kekhilafan dilakukan oleh pentadbir yang telah lama bersara daripada parti malah perkara itu dimuat naik tanpa pengetahuan parti negeri itu dan perkara itu sudah diselesaikan dengan cara memadam hantaran itu.
Jelasnya, individu berkenaan mengakui tersilap berkongsi status daripada pihak lain yang bukan ditulis oleh MCA Johor atau mana-mana pemimpin MCA.
“Perkara ini berlaku tiga hari lalu dan apabila saya mengetahui tentang perkara itu tindakan segera telah diambil pada masa itu lagi. Saya telah tegur dan permohonan maaf oleh MCA Johor juga telah dibuat.
“Saya mohon maaf atas kekhilafan ini, kita akan pastikan ini yang menganggu gugat sentimen masyarakat Islam tidak berlaku lagi,” katanya kepada media pada Rumah Terbuka Tahun Baru Cina MCA di Wisma MCA hari ini.
Sebelum ini, MCA Johor tampil memohon maaf kepada umat Islam negara ini susulan perkongsian status menghina serta memperlekeh agama Islam yang dilakukan tanpa sengaja oleh seorang pentadbir akaun Facebook berkenaan, kelmarin.
Sebelum itu, MCA Johor kelmarin, menerusi akaun Facebooknya memuat naik status menyatakan kerajaan sudah menyediakan dana untuk membantu rakyat Palestin, selain peruntukan kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan bagi tujuan percetakan al-Quran, namun untuk tol percuma Tahun Baru Cina, tidak diberikan
Perbandingan itu, menurut pelbagai pihak menimbulkan sangkaan jahat dan membina persepsi salah terhadap bantuan yang diterima umat Islam dan rakyat Palestin. -MalaysiaGazette