Tangkap layar video tular memaparkan kes samun peniaga kalung bunga di Hoover Park, Jalan Sultan Abdullah, Teluk Intan. Foto Media Sosial

TELUK INTAN – Polis sedang giat mengesan suspek lelaki yang dipercayai terlibat dalam kes samun peniaga kalung bunga di anjung sebuah rumah di Hoover Park, Jalan Sultan Abdullah, di sini yang tular di media sosial hari ini.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, pihaknya telah menerima satu laporan polis berhubung kejadian itu dari seorang wanita warga emas berusia 65 tahun pada 8.20 pagi.

Menurutnya, dalam laporan tersebut mangsa memaklumkan kejadian itu berlaku sekitar jam 7.06 pagi semalam ketika mangsa sedang bekerja menjual kalung bunga di depan rumahnya di Hoover Park, Jalan Sultan Abdullah.

“Ketika mangsa sedang bekerja, dia didatangi suspek lelaki disyaki telah berpura-pura memintanya membuatkan kalungan bunga untuk dibeli oleh suspek.

“Semasa mangsa sedang membuat kalungan bunga tersebut, suspek telah masuk mendekati mangsa dari arah belakang dan terus meragut seutas rantai emas yang dipakai oleh mangsa.

“Berlaku pergelutan antara suspek dan mangsa ketika kejadian itu berlaku. Suspek kemudiannya meragut rantai yang dipakai oleh mangsa dan menolak sehingga mangsa jatuh ke lantai.

“Mangsa telah menjerit meminta tolong dan didengari anak lelakinya yang sedang tidur di bilik dalam rumah.

“Suspek berasa gelisah selepas mangsa menjerit meminta tolong, menyebabkan dia terus melarikan diri selepas berjaya meragut sebahagian rantai yang dipakai oleh mangsa,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan di bahagian leher serta luka di bahagian tangan, kaki dan pinggul.

Tambahnya, mangsa mengalami kerugian sekitar RM1,500 di atas kehilangan separuh rantai leher yang diragut oleh suspek.

“Sebahagian lagi rantai ada dengan mangsa dan harga seutas rantai emas itu dianggarkan bernilai RM3,000.

“Berikutan itu, kes ini disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja menyebabkan kecederaan semasa melakukan rompakan yang boleh dihukum penjara dua puluh tahun dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan,” ujarnya.

Adnan berkata, suspek dipercayai seorang warga tempatan berbadan gempal, berkulit gelap, memakai topi keledar dan pelitup muka berwarna hitam serta memakai jaket berwarna hitam kuning.

“Suspek juga menaiki motosikal jenis Honda Wave 125 nombor pendaftaran tidak dikenal pasti oleh mangsa.

“Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian itu boleh menghubungi pegawai penyiasat jenayah IPD Hilir Perak, Inspektor Muzlifah Azmi dan di talian 011-2185 8926; Balai Polis Teluk Intan di talian 05-629 2222 atau melalui laman web rasmi PDRM,” ujarnya.

Terdahulu tular di media sosial video berdurasi 4 minit 22 saat memaparkan seorang lelaki meragut wanita warta emas di anjung sebuah rumah pagi semalam. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here