Logo Polis Diraja Malaysia

KUALA TERENGGANU – Seorang peniaga sayur kerugian RM214,700 akibat diperdaya sindiket skim pelaburan tidak wujud di laman sosial Facebook.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Azli Mohd Noor berkata, pada 11 Disember tahun lalu wanita berusia 54 tahun itu telah melihat satu iklan pelaburan di laman sosial berkenaan sebelum menghubungi  lelaki dikenali sebagai ‘Zulfikar’ melalui aplikasi Whatsapp untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Beliau berkata, mangsa yang berasal dari Tepoh, Kuala Nerus itu kemudiannya diminta untuk menghubungi individu wanita lain yang akan menerangkan lebih lanjut tentang pelaburan tersebut.

“Mangsa dijanjikan keuntungan sebanyak RM30,000 dalam masa tiga hingga enam jam dengan pelaburan asas sebanyak RM500. Terpengaruh dengan nilai keuntungan yang besar, mangsa telah membuat pelaburan pertama seperti yang diarahkan.

“Namun, beberapa jam kemudian, mangsa diminta untuk membuat pembayaran lain bagi urusan pengeluaran keuntungan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Azli berkata mangsa telah membuat 42 kali bayaran ke 16 akaun berbeza menggunakan wang simpanan dan hasil gadaian barang kemas.

Bagaimanapun, mangsa menyedari ditipu membuat laporan polis pada 7.24 malam, semalam setelah gagal mendapat keuntungan pelaburan yang dijanjikan meskipun telah sekian lama menungu.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. Orang ramai diminta agar sentiasa berwaspada dengan taktik penipuan sindiket yang semakin pelbagai,” katanya. – BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here