Pesanan ringkas palsu yang disebarkan melalui aplikasi whatsapp salah satu punca Rumah Prihatin @ Grand Seasons orang ramai termasuk warga asing beratur panjang untuk mendapatkan vaksinasi secara walk-in susalan video tular pada 12 Ogos 2021. Gambar arkib MalaysiaGazette

Oleh: Rasfan Abu Bakar

LEDAKAN media sosial di era digital telah merevolusikan cara seseorang untuk mengakses dan berkongsi maklumat. Platform seperti Facebook, Twitter, Instagram dan TikTok telah menjadi alat penting untuk komunikasi yang membolehkan pengguna berkongsi berita dan berhubung dengan orang lain pada masa nyata. Walau bagaimanapun di samping banyak kelebihanya, media sosial turut menjadi satu tempat penyebaran maklumat yang salah.

Kandungan palsu atau mengelirukan merebak dengan cepat dalam masyarakat lalu membentuk pendapat umum, mempengaruhi tingkah laku dan juga mencetuskan pelbagai tindak balas. Oleh yang demikian adalah penting untuk kita memahami sifat, punca dan kesan maklumat-maklumat palsu bagi menangani isu yang semakin membimbangkan ini.

Maklumat palsu merujuk kepada maklumat tidak tepat atau salah yang dikongsikan tanpa usul periksa. Di media sosial, maklumat salah selalunya berbentuk berita palsu, imej yang diubah, teori konspirasi atau tajuk berita yang mengelirukan. Jenis kandungan ini berkembang pesat dalam platform media sosial kerana sifatnya yang sensasi atau penuh emosi lantas menarik perhatian dan mendorong orang lain untuk menyebarkanya.

Akibatnya, maklumat yang salah akan merebak lebih cepat daripada maklumat yang betul dan ini mewujudkan cabaran bagi pengguna dan masyarakat. Terdapat beberapa faktor yang menyumbang kepada penyebaran maklumat palsu di media sosial.

Di antaranya ialah algoritma yang menggerakkan platform itu sendiri kerana ia mengutamakan kandungan terhadap janaan pada tahap penglibatan yang tinggi seperti jumlah suka, ulasan dan perkongsian. Malangnya, maklumat yang disensasikan atau palsu sering mendapat lebih banyak perhatian daripada kandungan fakta benar lalu ini
membolehkan ia menjadi viral.

Selain itu, kemudahan berkongsi siaran tanpa mengesahkan ketepatannya membolehkan maklumat salah menjangkau pada khalayak yang besar dengan cepat. Media sosial juga mewujudkan ruang gema di mana pengguna terdedah kepada kandungan yang sejajar dengan kepercayaan mereka. Ini menjadikan orang ramai lebih cenderung untuk mempercayai dan berkongsi maklumat yang mengelirukan. Tambahan pula, ketiadaan nama sebenar pada media sosial membolehkan pengguna menyebarkan info palsu tanpa akauntabiliti.

Salah satu isu yang paling viral pernah melanda dunia ialah perkara berkaitan dengan kesihatan awam. Contohnya, semasa pandemik Covid-19, pelbagai maklumat yang salah diperdebatkan berkaitan dengan penggunaan vaksin terhadap manusia. Hal ini telah menjejaskan rawatan dan langkah pencegahan serta mencetuskan keraguan terhadap keberkesanan vaksin. Perkara-perkara negatif menjadi topik utama di media sosial sehingga menenggelamkan manfaat penerimanya.

Contoh lain pula ialah maklumat palsu terhadap isu-isu politik. Hal ini turut menyumbang kepada polarisasi politik seperti naratif palsu tentang pilihan raya, dasar atau tokoh politik yang menyumbang kepada perpecahan masyarakat dan menghakis kepercayaan terhadap institusi demokrasi. Pelbagai isu dan sentimen dimainkan sedangkan kebenaranya jauh dari nyata. Isu berkaitan politik akan meningkat berkali ganda apabila menjelang
pilihan raya dan trend ini kian membimbangkan.

Dari segi ekonomi, khabar angin palsu tentang perniagaan atau pasaran kewangan boleh menyebabkan turun naik harga saham dan mencetus suasana panik pelabur. Dari segi sosial pula, maklumat palsu yang menyasarkan kumpulan atau komuniti tertentu boleh mencetuskan prasangka, diskriminasi dan juga keganasan jika ia tidak ditangani dengan betul.

Dunia hiburan juga tidak terlepas dengan fenomena ini dimana saban waktu kita digemparkan dengan pelbagai gosip dan kisah sensasi yang semuanya dijaja tanpa menghiraukan kebenaran disebalik cerita tersebut. Ia termasuk ialah kisah selebriti meninggal dunia yang sering diulang siar di media sosial sedangkan diri mereka masih lagi hidup dan ini adalah satu contoh klasik yang sering timbul dari masa ke semasa.

Justeru itu bagi menangani isu penyebaran maklumat palsu ia memerlukan pelbagai pendekatan yang holistik. Langkah pertama ialah dengan mendidik pengguna tentang literasi media. Dengan mempelajari cara menilai kredibiliti kandungan dalam talian serta mengesahkan maklumat daripada pelbagai sumber, seseorang individu boleh mengurangkan penyebaran berita palsu.

Platform media sosial juga boleh memainkan peranan penting dalam memerangi maklumat salah dengan melaksanakan dasar kandungan yang lebih ketat, menggunakan alat semakan fakta dan mempromosikan sumber yang boleh dipercayai. Penggunaan teknologi terkini seperti kecerdasan buatan berupaya membantu mengenal pasti dan membezakan kandungan yang mengelirukan manakala kerajaan berperanan mewujudkan peraturan dan garis panduan untuk memastikan ketelusan tanpa melanggar kebebasan bersuara.

Selain itu pihak penyedia media sosial harus lebih aktif dalam mengekang perkara-perkara yang berkaitan dengan berita palsu agar masyarakat tidak mudah terpedaya dengan isu-isu yang viral. Kesimpulanya walaupun media sosial berpotensi untuk menyampaikan maklumat dengan pantas, penyalahgunaannya boleh menyebabkan kemudaratan yang ketara.

Memerangi maklumat yang salah adalah tanggungjawab setiap individu, penyedia platform media sosial dan kerajaan. Dengan menggalakkan pemikiran kritis, celik media dan akauntabiliti, masyarakat umum boleh mewujudkan persekitaran digital yang memupuk kebenaran dan kepercayaan. Hanya melalui usaha ini, platform media sosial boleh berfungsi sepenuhnya sebagai alat untuk perubahan positif dan bukannya sumber kekeliruan dan perpecahan.

 

Penulis merupakan pensyarah kanan di Akademi Seni Budaya & Warisan Kebangsaan (ASWARA).

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast