KOTA KINABALU – Bantuan RM25 juta diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim amat diperlukan bagi membantu membaiki infrastruktur yang rosak dan musnah susulan banjir di Sabah, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.
Menyambut baik bantuan itu, beliau berkata, bantuan segera merangkumi RM1,000 untuk semua keluarga yang terkesan juga amat penting dalam usaha membantu mangsa banjir.
“Kerajaan negeri mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Persekutuan atas bantuan segera ini yang sudah pasti dapat meringankan beban rakyat Sabah yang terjejas akibat bencana,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.
Anwar ketika berucap pada Majlis Kenduri Rakyat di Ipoh, Perak tengah hari tadi mengumumkan peruntukan RM25 juta untuk membaiki infrastruktur terjejas akibat beberapa bencana di Sabah dan Sarawak merangkumi bantuan RM1,000 kepada semua keluarga yang terkesan.
Sementara itu, Hajiji berkata kerajaan negeri telah bersiap sedia menghadapi Monsun Timur Laut dengan kekuatan 14,209 anggota pelbagai agensi penyelamat dan keselamatan selain 1,456 aset darat, air dan udara.
“Semua Pegawai Daerah yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) telah dibekukan cuti,” katanya.
Dalam pada itu, petani dari Beaufort, Ahmad Faizal Murad, 45, yang kini ditempatkan di PPS Dewan Selagon berkata beliau amat bersyukur dengan bantuan segera yang diberikan kerajaan.
“Bantuan RM1,000 ini sangat membantu keluarga kami yang kehilangan hampir kesemua barangan rumah akibat banjir. Saya juga gembira kerajaan mengambil tindakan segera untuk membaiki infrastruktur yang rosak kerana jalan utama ke kampung kami terputus akibat banjir,” katanya
Tialang Majius, 38, seorang pembantu kedai dari Kota Marudu yang kini berlindung di Sekolah Kebangsaan Taritipan turut melahirkan rasa syukur atas bantuan yang diberikan.
“Sebagai mangsa banjir, kami sangat menghargai bantuan kewangan ini. Namun, saya berharap kerja-kerja pembaikan infrastruktur dapat dilaksanakan dengan segera kerana ia memberi kesan kepada pergerakan penduduk kampung, terutamanya pelajar sekolah,” ujarnya.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah melaporkan mangsa banjir menurun kepada 5,162 orang daripada 1,789 keluarga setakat 4 petang ini dengan lima PPS telah ditutup menjadikan 34 PPS masih beroperasi di sembilan daerah. – BERNAMA