MELAKA – DAP Melaka akan tetap meneruskan cadangan untuk mewujudkan pasar malam berkonsepkan Jonker Walk di Hang Tuah Mall, di sini, biar pun mencetuskan pelbagai kontroversi dalam kalangan masyarakat.
Setiausaha Organisasinya Low Chee Leong berkata, pasar malam seperti Jonker Walk atau Jonker Walk 2.0 itu bagaimanapun bukannya menggunakan nama terbabit, malah peniaga juga terdiri daripada pelbagai kaum dan bukanlah didominasi kaum Cina sahaja.
“Saya cadangkan konsep atau jenama Jonker Walk 2.0 sahaja di bawa ke Jalan Hang Tuah untuk merancakkan ekonomi bukannya mahu tukar nama atau tutup jalan ini daripada nama asalnya.
“Tiada isu perkauman kerana perniagaan terbuka kepada semua peniaga yang berdaya saing sama ada Melayu, Cina atau India jadi pihak tertentu janganlah putar belitkan cadangan saya untuk bawa pembangunan ke kawasan ini,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Laksamana berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas meninjau lokasi cadangan itu di Hang Tuah Mall, Jalan Hang Tuah di sini hari ini.
Mengulas lanjut Chee Leong berkata, cadangan mewujudkan Jonker Walk 2.0 itu adalah susulan kejayaan Jonker Walk di Jalan Hang Jebat di sini sejak 25 tahun dulu sehingga terkenal di seluruh dunia.
“Itu pun ia baru diperingkat cadangan dan perinciannya kita akan minta mana-mana persatuan atau badan bukan kerajaan kemukakan kertas kerja kepada saya selain turut melibatkan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Morten.
“Selepas itu, barulah saya akan berbincang dengan Exco berkaitan sekiranya perlu untuk membawa cadangan itu ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Melaka (MMKN),” katanya. – MalaysiaGazette