Kementerian Luar Negeri di Putrajaya.

KUALA LUMPUR – Kementerian Luar Negeri dan Jepun sedang menyelaras bagi menganjurkan Mesyuarat Menteri-Menteri CEAPAD Ke-4 (CEAPAD IV) di Malaysia pada tahun ini.

CEAPAD merupakan platform serantau yang diterajui oleh Jepun sejak tahun 2013 bagi menyokong usaha pembinaan negara Palestin dengan memanfaatkan sumber, pengetahuan, dan pengalaman pembangunan ekonomi negara-negara Asia Timur.

Menurutnya, kementerian ini komited sepenuhnya untuk bekerjasama dengan Jepun di bawah rangka kerja Persidangan Kerjasama Antara Asia Timur untuk Pembangunan Palestin (CEAPAD) bagi menjawab seruan mendesak rakyat Palestin untuk mendapatkan bantuan.

Ia selaras dengan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 29 Januari 2025 mengenai keperluan mendesak untuk mempercepatkan usaha pembangunan semula Gaza dan Palestin.

Malaysia akan turut serta dalam pembangunan semula infrastruktur penting,
termasuk sebuah sekolah, hospital, dan masjid, sebagai bukti komitmen bersama kerajaan, sektor swasta, dan rakyat negara ini dalam menyokong usaha pemulihan Palestin.

Inisiatif ini mencerminkan peranan proaktif Malaysia dalam mendapatkan sokongan antarabangsa serta menggalakkan kerjasama bagi memastikan usaha pembangunan semula Palestin dapat dilaksanakan secara mampan dan berkesan.

“Malaysia dan Jepun akan berunding dengan peserta CEAPAD bagi mendapatkan komitmen dan sokongan yang diperlukan untuk memastikan kejayaan usaha kumpulan ini dalam membangunkan semula Gaza.

Ini termasuk satu siri mesyuarat penyelarasan sebelum persidangan bagi memastikan
bantuan dan sumbangan kepada Palestin disalurkan dengan lebih cekap, tersusun, dan mampan untuk pembangunan jangka Panjang,” katanya dalam kenyataan di sini.

Fokus utama CEAPAD IV akan merangkumi program pembangunan kapasiti, penyediaan bantuan kemanusiaan yang menyeluruh, dan pembangunan semula infrastruktur kritikal di Palestin.

Bidang-bidang ini penting dalam memperkukuh institusi Palestin serta meningkatkan kesejahteraan rakyatnya, sejajar dengan komitmen teguh Malaysia terhadap kedaulatan dan hak penentuan nasib sendiri bagi Palestin.

Mesyuarat Peringkat Pegawai CEAPAD yang terbaharu pada 18 Julai 2024 telah mengulangi keperluan mendesak untuk meningkatkan penyelarasan dalam menangani krisis kemanusiaan di Gaza, serta kepentingan pemulihan dan pembangunan jangka panjang, termasuk reformasi tadbir urus bagi memastikan pembangunan mampan untuk Palestin.

Jelasnya, Malaysia kekal memberi sokongan tidak berbelah bahagi terhadap perjuangan rakyat Palestin dan akan terus bekerjasama dengan rakan serantau dan antarabangsa bagi memastikan CEAPAD IV diterjemahkan kepada tindakan nyata yang menyokong pembangunan semula dan kestabilan jangka panjang Palestin. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here