KUALA LUMPUR – Pas Selangor kecewa dengan laporan berita pelampung pada permainan gelongsor air kaca di sebuah pusat permainan di Shah Alam tiba-tiba terjatuh dan menimpa pengunjung baru-baru ini masih belum mendapat kelulusan pihak berkuasa tempatan untuk beroperasi.
Ketua Pemuda Pas Selangor, Sukri Omar berkata, kejadian seperti ini sangat menakutkan rakyat negeri Selangor khususnya buat ibu bapa yang sedang meraikan cuti bersama anak-anak mereka di tempat-tempat perlancongan, taman tema, pusat permainan.
“Persoalan yang paling besar ialah, mengapa permainan yang amat merbahaya seperti itu boleh beroperasi secara bebas sebegitu rupa?
“Di manakah integriti dan kecekapan pihak penguatkuasa oleh Kerajaan Negeri Selangor? Apakah ada masalah dengan ‘Standard Operating Procedure (SOP)’ dan undang – undang sedia ada? Atau, apakah sebenarnya masih banyak pusat-pusat perlancongan/permainan yang masih belum mendapat kelulusan dan pada masa yang sama sedang beroperasi dengan bebas?,” katanya pada hantaran Facebook, hari ini.
Media semalam melaporkan bahawa permainan gelongsor air kaca di i-City tular apabila pelampung tiba-tiba terjatuh dan menimpa pengunjung baru-baru ini masih belum mendapat kelulusan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) untuk beroperasi.
Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam MBSA, Mohd Azhar Mohd Sharif memaklumkan, pihaknya telah mengeluarkan notis supaya dihentikan ketika masih dalam tempoh pembinaan, namun tidak dipatuhi.
Menurutnya, susulan itu pihak berkuasa tempatan itu mengeluarkan kompaun terhadap pihak i-City pada 14 November 2024.
Dalam pada itu, Sukri menyeru agar Kerajaan Negeri Selangor untuk menyemak kembali segala persediaan daripada sudut dasar dan teknikal secara komprehensif tanpa melihat isu ini dengan sebelah mata.
“Imej dan kredibiliti negeri Selangor akan terjejas teruk sekiranya Kerajaan Negeri tidak ambil serius dan sambil lewa dalam hal ini. Jangan sampai berlakunya kemalangan jiwa sehingga meragut nyawa baru kita mahu fokus dan serius,” katanya. – MalaysiaGazette