Hamzah.

SEBERANG PERAI – Polis Pulau Pinang mengesahkan rampasan enam senjata api termasuk selaras raifal dalam milikan sindiket penyeludupan baru-baru dipercayai untuk dijual kepada kumpulan kongsi gelap di negeri ini.

Pendedahan itu dibuat Ketua Polis negeri, Datuk Hamzah Ahmad berdasarkan soal siasat yang dijalankan pihaknya terhadap empat nelayan yang ditahan polis pada Isnin lalu.

“Kita juga telah mengenal pasti sebahagian rangkaian sindiket ini termasuk di negara jiran namun siasatan lanjut masih diteruskan.

“Buat masa ni kita sedang menyusun dengan begitu rapi soal siasat sebab kita nak pastikan bahawa elemen-elemen siasatan kita mencakupi atau pun lengkap dari semua aspek,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perkembangan siasatan tangkapan empat lelaki bersama lima pucuk pistol, selaras raifal serta ratusan peluru di perairan negeri ini pada 27 Januari lalu.

Tambah Hamzah, kesemua suspek masih dalam tahanan reman.

Media pada Selasa lalu melaporkan empat nelayan termasuk dua warga Indonesia yang terlibat dalam kegiatan penyeludupan senjata api diberkas bersama lima pucuk pistol, selaras raifal dan ratusan peluru di perairan negeri ini.

Tangkapan ke atas empat lelaki berusia 22 hingga 57 tahun bersama dua bot gentian kaca itu dilakukan unit risikan Pasukan Polis Marin Wilayah Satu Batu Uban kira-kira jam 3.10 petang di satu batu nautika dari Barat Daya, Sungai Perai pada hari Isnin.

Hamzah berkata, hasil siasatan mendapati kesemua senjata api bersama peluru itu dipercayai diseludup masuk dari Thailand melalui jalan laut untuk pasaran gelap negara ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here