SHAH ALAM – Seramai tujuh individu bakal didakwa membabitkan kes tular sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang memakai pakaian mirip istiadat ketenteraan ketika menghadiri satu majlis, awal bulan ini.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan turut mengesahkan, antara yang akan didakwa adalah pengasas NGO yang ditubuhkan sejak 2022 itu dengan melakukan aktivti kebajikan.
“Siasatan telah dijalankan dan seramai 40 individu telah diambil keterangan melibatkan rampasan 18 helai pakaian bersama lencana atau lambang serta akseori pada pakaian tersebut.
“Selain itu, pemeriksaan di sebuah premis di Bandar Pinggiran Subang turut merampas barang dipercayai milik individu pertubuhan tersebut.
“Hasil siasatan mendapati majlis tersebut telah dianjurkan oleh seorang individu dari sebuah pertubuhan yang berlangsung di sebuah hotel di Sungai Buloh, Shah Alam di mana pakaian milik individu yang dirampas merupakan pakaian yang ditempah oleh individu yang hadir pada majlis tersebut dan ahli pertubuhan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen Selangor di sini hari ini.
Awal bulan ini, Polis Selangor membuka satu kertas siasatan terhadap kes tular membabitkan sebuah pertubuhan yang memakai pakaian mirip istiadat ketenteraan ketika menghadiri satu majlis.
Hussein ketika itu berkata, pihaknya mengesan video tular berkenaan di aplikasi media sosial yang mana rakaman itu memaparkan beberapa individu menghadiri satu majlis dengan berpakaian rasmi yang hampir menyamai pakaian istiadat pasukan beruniform.
“Susulan itu, satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 140 Kanun Keseksaan; Seksyen 50(3) Akta Pertubuhan 1966 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKMM),” katanya.
Menerusi satu video tular berdurasi 1.42 minit, dilihat beberapa individu memasuki ruang seperti dewan dengan berpakaian seragam badan beruniform.
Mengulas lanjut, Hussein berkata, siasatan juga mendapati pertubuhan tersebut adalah berdaftar dan lambang atau lencana yang digunakan pada pakaian adalah tidak sebagaimana lambang pertubuhan yang didaftarkan.
Pada masa sama, kata beliau, aksesori yang dipakai hampir menyerupai aksesori pakaian beruniform.
Namun jelasnya, siasatan mendapati NGO terbabit tidak memiliki kaitan dengan kumpulan kongsi gelap namun pihaknya percaya terdapat aktiviti menjual pangkat dan pingat kepada masyakat.
“Polis Selangor menyeru agar mana-mana individu atau pertubuhan tidak menggunakan pakaian yang menyerupai pakaian pasukan beruniform atau apa-apa lambang, lencana dan aksesori bagi yang boleh mencemarkan imej pasukan berunirofm dan disalahgunakan untuk perkara yang tidak sepatutnya.
“Pihak polis juga menyeru mana-mana individu menggunakan medium media sosial dengan sebaiknya dan melaporkan kejadian jenayah ke balai yang berdekatan,” katanya. – MalaysiaGazette