ALOR GAJAH – Seorang wanita maut, manakala pemandu trak tentera patah tangan kanan selepas kenderaan dipandu bertembung di hadapan Kem 96 Depot Pangkalan Peluru, Masjid Tanah, di sini, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 2.24 pagi itu, mangsa Manisya Azlin Ishak, 25, maut ditempat kejadian akibat parah di kepala manakala pemandu lori tentera, lelaki berusia 33 tahun, mengalami patah tangan.
Timbalan Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Deputi Superintendan Azrul Mohamed berkata, siasatan awal mendapati kereta dipandu wanita berkenaan dari arah Ayer Keroh menuju Masjid Tanah dipercayai mengantuk dan memasuki laluan bertentangan.
“Akibatnya, kereta jenis Proton Saga mangsa bertembung dengan sebuah trak tentera dari arah hadapan yang cuba brek berdasarkan kesan tayar sepanjang 12 meter di laluannya.
“Bagaimanapun impak kemalangan yang kuat mengakibatkan pemandu wanita yang bekerja di bahagian pusat panggilan Telekom di Ayer Keroh tersepit dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurutnya, mayat berjaya dikeluarkan dengan bantuan pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Alor Gajah sebelum dihantar ke Forensik Hospital Alor Gajah untuk bedah siasat.
“Pemandu lori tentera turut mengalami patah tangan dan dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut manakala empat lagi anggota tentera lain yang berada dalam trak tersebut tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Semua kenderaan yang terlibat dalam kejadian telah ditahan untuk siasatan lanjut dan dihantar ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) bagi pemeriksaan teknikal,”tambahnya.
Azrul berkata, polis juga sedang mengesan saksi kejadian bagi membantu siasatan kes di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette