JOHOR BAHRU – Penduduk yang terjejas akibat hakisan ombak di Pekan Sungai Rengit, Kota Tinggi baru-baru ini wajar berpindah ke lokasi yang lebih selamat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Surat, Aznan Tamin berkata, langkah itu bagi memastikan keselamatan mereka terjamin.
Katanya, cadangan itu adalah untuk jangka masa panjang supaya tidak lagi diancam dengan kejadian tersebut pada masa depan.
“Kita sudah sediakan (tempat baharu) dan memang kita ada rancang untuk mereka ini berpindah ke tempat yang lebih sesuai berbanding sekarang.
“Bagaimanapun, bagi yang tak boleh pindah tu kita pujuk memujuklah, tengok macam mana nak selesaikan perkara tersebut,” katanya kepada pemberita selepas Program Bantuan Kasih Murid Johor di AEON Mall Tebrau di sini hari ini.
Seramai 12 individu daripada empat buah keluarga di Sungai Rengit, terjejas akibat hakisan ombak di Pekan Sungai Rengit, Kota Tinggi, pada 12 Januari lalu.
Ini berikutan fenomena air pasang besar, hujan berterusan dan pengaruh musim monsun menyebabkan hakisan pantai semakin parah sekaligus mengancam ekosistem setempat, infrastruktur serta keselamatan penduduk.
Aznan berkata, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sudah diarahkan untuk memantau keadaan dan impak hakisan tersebut kepada kawasan sekitar.
Menurutnya, kebanyakan pemilik kediaman yang terkesan akibat hakisan berkenaan sedang membaiki rumah masing-masing.
Keadaan sama juga sedang dilakukan pihak Majlis Perbandaran Pengerang (MPP) khususnya terhadap gerai-gerai di kawasan sekitar yang terjejas akibat hakisan yang berlaku.
“Bagi rumah memang mereka tengah baiki sendiri dan kita bantu mereka khususnya untuk bantuan-bantuan yang lebih penting seperti daripada segi kewangan dan sebagainya kepada penduduk yang terkesan.
“Gerai-gerai di kawasan sekitar juga kita akan lihat bagaimana kaedah atau bantuan yang boleh kita salurkan kepada mereka,” katanya. – MalaysiaGazette