KUALA LUMPUR – Pelanggan di sebuah restoran di Banting berdepan detik cemas selepas disamun lelaki bersenjatakan parang semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Supt Mohd Akmal Rizal Radzi berkata, dalam kejadian jam 10 pagi, mangsa seorang lelaki warga tempatan makan di restoran D’Morib Asam Pedas bersama rakannya sebelum didatangi suspek.
“Lelaki itu bertindak mengangkat parang yang dibawa ke arah pengadu dan mengarah pengadu menyerahkan beg sandang miliknya,” katanya menerusi kenyataan.
Menurut beliau, suspek yang bersendirian kemudian melarikan diri menaiki kereta jenis Toyota Camry.
Ujarnya, pihaknya kini sedang giat mengesan suspek.
Sehubungan itu Mohd Akmal berkata, pihaknya membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.
Jelasnya, undang-undang tersebut memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebatan kepada suspek sekiranya didapati bersalah.
“Mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan boleh tampil ke balai polis berdekatan bagi menyalurkan maklumat dan boleh menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat di talian 03-31872222,” ujarnya. – MalaysiaGazette