KUALA LUMPUR – Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) menegaskan, adalah tidak tepat untuk menyamakan sokongan Malaysia dalam membantu membangunkan semula Gaza dan Palestin dengan peribahasa ‘anak kera di hutan disusukan, anak sendiri di rumah kebuluran’.
Sebaliknya, Malaysia sentiasa meletakkan kebajikan rakyatnya terpelihara tanpa mengira latar belakang dan perbezaan mereka, kata Yang Dipertuanya, Datuk Hasanuddin Mohd Yunus.
Beliau berkata, kerajaan Madani telah terbukti konsisten melaksanakan pelbagai usaha bagi memastikan kesejahteraan rakyat terjaga menerusi inisiatif seperti subsidi bersasar, inisiatif Sumbangan Tunai Rahmah (STR), kenaikan gaji minumum, jualan Rahmah Madani dan pelbagai lagi.
“Tidak terkecuali ialah pelaburan dalam sektor pendidikan, kesihatan dan pembangunan infrastruktur juga terus dipertingkatkan untuk memastikan kesejahteraan jangka panjang.
“Kesemua ini dilakukan tanpa mengabaikan tanggungjawab negara kepada saudara seagama di Palestin.
“Sokongan Malaysia terhadap Palestin bukan sekadar manifestasi solidariti kemanusiaan, tetapi juga cerminan tanggungjawab moral dan integriti sebagai negara yang dihormati di peringkat antarabangsa,” katanya dalam kenyataan.
Hasanuddin berkata, Malaysia berpegang kepada prinsip keadilan sejagat tanpa mengabaikan keperluan rakyatnya, seiring dengan usaha memperkukuh kestabilan ekonomi dan kemakmuran negara.
Justeru, beliau percaya usaha berterusan ini bukan sahaja memperkukuh kepercayaan masyarakat antarabangsa terhadap Malaysia, malah membuka peluang pelaburan dan pelancongan, sekali gus meningkatkan daya tarikan negara.
Dalam pada itu beliau berkata, Yadim menyokong penuh komitmen Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berhasrat membangunkan semula infrastruktur penting di Gaza, termasuk masjid, sekolah dan hospital seperti yang diumumkan pada 29 Januari lalu.
Katanya, langkah memastikan keselamatan, keamanan dan kesejahteraan dunia adalah tanggungjawab bersama masyarakat antarabangsa dan dalam hal ini, kerajaan dan rakyat Malaysia terus memainkan peranan penting bagi mempertahankan keadilan serta hak asasi manusia.
“Malaysia terus mendapat kepercayaan daripada pelbagai negara, baik di Barat, negara-negara Arab mahupun di rantau Asia atas ketegasan serta keberaniannya dalam memperjuangkan keamanan sejagat.
“Dalam konteks konflik di Palestin, Malaysia menunjukkan ketegasannya sebagai pemimpin dalam usaha global untuk perdamaian dan penyelesaian kemanusiaan.
“Sehubungan dengan gencatan senjata di Palestin, khususnya di Gaza, seluruh rakyat Malaysia memikul tanggungjawab bersama dalam memastikan bantuan yang sewajarnya disalurkan bagi memulihkan hak-hak rakyat Palestin serta meringankan penderitaan mereka.
“Usaha ini sejajar dengan prinsip kemanusiaan sejagat yang menekankan hak setiap individu untuk hidup bebas dari diskriminasi,” katanya. – MalaysiaGazette