KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim meluahkan rasa bimbang dengan budaya fitnah dan hasutan di dalam talian dan media sosial menyebabkan rakyat keliru, bermusuhan dan berpecah-belah.
Justeru, baginda meminta kerajaan perlu tegas dalam membendung budaya itu dan bersikap proaktif untuk memberikan maklumat yang betul dan dipercayai.
Pada masa sama, baginda turut mengingatkan masyarakat supaya sentiasa berhati-hati agar tidak menjadi mangsa jenayah siber seperti penipuan kewangan dalam talian atau ‘scammer’ dan pencurian identiti.
“Saya menyambut baik usaha kerajaan untuk meningkatkan pelaburan asing berkaitan teknologi tinggi dan digital.
“Pengukuhan infrastruktur dan ekonomi digital, peningkatan keselamatan siber, serta penggunaan teknologi terkini hendaklah dilaksanakan segera, sistem perkhidmatan kerajaan juga hendaklah dinaik-taraf menggunakan teknologi digital yang lebih cekap dan telus.
“Ini bagi membanteras amalan rasuah dan salah guna kuasa, serta budaya ‘red tape’ yang menyusahkan urusan rakyat,” katanya.
Baginda berkata demikian ketika bertitah merasmikan Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-15 di Dewan Rakyat di sini hari ini.
Sultan Ibrahim turut berharap Kempen Melawat Malaysia Tahun 2026 bakal melihatkan keunikan budaya dan nilai-nilai murni masyarakat Malaysia.
Titah baginda, ini kerana ia juga akan membuka peluang ekonomi, dan mengukuhkan imej negara di mata dunia.
“Oleh itu, semua pihak perlu berusaha untuk menjayakan kempen ini, terutamanya dalam memastikan negara kita bersih dan selamat.
“Tidak ada pelancong yang hendak datang kalau negara kita kotor dan kadar jenayah yang tinggi,” katanya.
Sementara itu, Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-15 turut disiarkan secara langsung menerusi saluran media rasmi, televisyen tempatan dan platform dalam talian.
Berdasarkan takwim di laman sesawang rasmi Parlimen, selain pembentangan usul Menjunjung Kasih dan Perbahasan Titah Diraja, persidangan Dewan Rakyat yang berlangsung selama 18 hari turut menyaksikan Ahli Parlimen akan mengambil bahagian dalam perbahasan usul itu selama tujuh hari mulai esok.
Sidang Parlimen kemudian diteruskan dengan sesi jawapan oleh menteri berkaitan pada 19 hingga 25 Februari.
Takwim itu turut menyenaraikan sesi pembentangan rang undang-undang (RUU) dan urusan kerajaan lain akan berlangsung pada enam hari terakhir persidangan bermula 26 Februari ini.
Persidangan Dewan Negara pula akan berlangsung selama 13 hari bermula 3 Mac depan. – MalaysiaGazette