Pantai Air Papan. foto MY Mersing

MERSING – Orang ramai diingatkan supaya sentiasa berwaspada dan mematuhi tanda amaran bendera merah di persisiran Pantai Air Papan di sini, berikutan daerah ini masih lagi dalam fasa Monsun Timur Laut (MTL).

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Mersing Lt M (PA) Muhamad Syafiq Mohamad Sabri berkata, meskipun cuaca baik, keadaan angin kencang dan laut bergelora berisiko kepada aktiviti pantai serta berkaitan air.

“Para pengunjung hendaklah mematuhi arahan bendera merah yang melarang untuk mandi-manda selain elakkan menghampiri kawasan pantai bagi menghindari insiden tidak diingini berlaku.

“Pada masa sama, kita ingin menasihati mereka agar mengambil perhatian mengenai maklumat ramalan dan amaran cuaca dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia),” katanya kepada Bernama hari ini.

Tinjauan Bernama mendapati pantai yang popular dalam kalangan penduduk setempat itu meriah dengan kehadiran pengunjung pada musim cuti sekolah dan cuti umum Tahun Baharu Cina, baru-baru ini.

Muhamad Syafiq berkata pihaknya sentiasa siap siaga memantau keselamatan pengunjung di lokasi tumpuan ramai itu selain memberikan khidmat nasihat supaya mereka lebih berhati-hati.

“Seorang pegawai dan lima anggota terlibat untuk penugasan di menara penyelamat pantai bagi menjadi ‘penyampai amaran’ kepada pengunjung yang melepasi radius ditetapkan.

“Pasukan ini juga akan membuat rondaan di pantai secara berkala selain memastikan alatan menyelamat sedia digunakan pada bila-bila masa,” katanya.

MetMalaysia telah mengeluarkan amaran angin kencang 40 hingga 50 kilometer sejam (kmsj) dan laut bergelora dengan ombak setinggi 2.5 hingga 3.5 meter dijangka berlaku di kawasan perairan Johor Timur (kategori pertama) pada 4 hingga 7 Feb ini. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here