KUALA LUMPUR – Seramai 170 penghuni rumah anak yatim Ma’rub menerima layanan daripada batalion Malbatt 850-12 menerusi program kebajikan yang merupakan sebahagian daripada inisiatif Civil-Military Cooperation (CIMIC).
Kementerian Pertahanan (Mindef) dalam kenyataan memaklumkan, program tersebut diadakan bertujuan memperkukuhkan hubungan kemasyarakatan di samping membawa keceriaan serta mencipta kenangan indah bagi penghuni rumah kebajikan tersebut.
Katanya, pelbagai aktiviti interaktif seperti pertandingan mewarna, persembahan tarian tradisional, dan permainan warisan seperti congkak dianjurkan untuk memeriahkan suasana.
Selain itu, aspek kesihatan turut diberi perhatian melalui program Medic Care Day yang menyediakan pemeriksaan kesihatan dan pergigian secara percuma bagi memastikan tahap kesihatan anak-anak yatim berada dalam keadaan terbaik.
Menerusi program tersebut, Komander Malbatt 850-12, Kolonel Johan Effendi Mohd Shalleh, turut mengadakan sesi Key Leader Engagement (KLE) bersama Pengarah Ma’rub Orphanage, Ali Ahmad Hussein bagi membincangkan usaha memperkukuhkan kerjasama jangka panjang antara Malbatt dan Ma’rub Orphanage.
Ma’rub Orphanage, yang telah beroperasi sejak tahun 1989, kini menjadi tempat perlindungan kepada 170 penghuni dari pelbagai latar belakang.
Institusi berkenan terus memainkan peranan penting dalam menyediakan pendidikan, pembangunan sahsiah dan kasih sayang kepada anak-anak yang kehilangan tempat bergantung.
Komitmen Malbatt 850-12 terhadap kebajikan masyarakat tidak berakhir di sini.
Pasukan itu bertekad untuk meneruskan inisiatif seumpama ini pada masa hadapan, bukan sekadar sebagai tanggungjawab sosial, tetapi juga sebagai usaha memperkukuh hubungan antara pasukan pengaman dan komuniti setempat di bawah naungan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). – MalaysiaGazette