KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim mengingatkan Ahli Parlimen bahawa Dewan Rakyat bukan tempat untuk bertegang urat, memaki-hamun atau menabur fitnah tetapi dewan yang mulia untuk membahaskan agenda kepentingan rakyat dan kemakmuran negara.
Baginda menaruh harapan tinggi agar Ahli Parlimen perlu menjadi benteng perpaduan negara dan bukannya agen perpecahan rakyat.
Justeru itu, baginda meminta menghentikan tindakan bermain politik atas setiap isu dan jangan hanya mementingkan parti atau kelompok sendiri sahaja.
“Parlimen adalah dewan perhimpunan yang paling utama dalam sistem negara kita. Inilah gelanggang pertemuan suara rakyat jelata, tempat di mana undang-undang digubal dan medan semak dan imbang atau “check and balance” ke atas pentadbiran negara,” katanya.
Baginda berkata demikian ketika bertitah merasmikan Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-15 di Dewan Rakyat di sini hari ini.
Sultan Ibrahim bagaimanapun memuji sikap kebanyak Ahli Parlimen yang telah banyak berubah dan menunjukkan sikap yang lebih sopan pada persidangan yang lalu.
Namun baginda berkata, masih ada segelintir daripada mereka yang sukar membuang tabiat lama itu.
“Saya perhatikan, dalam persidangan dewan pada tahun lalu, ahli-ahli dewan telah banyak berubah dan menunjukkan sikap yang lebih sopan.
“Tahniah kepada semua. Namun begitu, masih ada juga segelintir ahli yang sukar untuk membuang tabiat lama.
“Tidak perlu saya senaraikan perangai buruk tersebut, kerana saya percaya, setiap ahli sedar dan tahu, bagaimana untuk menjaga tingkah-laku masing-masing.
“Saya juga menghargai peranan yang telah dimainkan oleh semua pemimpin dalam mengekalkan kestabilan politik, kerana ianya telah menyumbang kepada kemakmuran ekonomi dan sosial negara,” katanya.
Sementara itu, Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-15 turut disiarkan secara langsung menerusi saluran media rasmi, televisyen tempatan dan platform dalam talian.
Berdasarkan takwim di laman sesawang rasmi Parlimen, selain pembentangan usul Menjunjung Kasih dan Perbahasan Titah Diraja, persidangan Dewan Rakyat yang berlangsung selama 18 hari turut menyaksikan Ahli Parlimen akan mengambil bahagian dalam perbahasan usul itu selama tujuh hari mulai esok.
Sidang Parlimen kemudian diteruskan dengan sesi jawapan oleh menteri berkaitan pada 19 hingga 25 Februari.
Takwim itu turut menyenaraikan sesi pembentangan rang undang-undang (RUU) dan urusan kerajaan lain akan berlangsung pada enam hari terakhir persidangan bermula 26 Februari ini.
Persidangan Dewan Negara pula akan berlangsung selama 13 hari bermula 3 Mac depan. – MalaysiaGazette