KUALA LUMPUR – Pempengaruh, Kim Seri sekali lagi telah memohon maaf kepada semua pelanggan yang terkesan dengan pakej pelancongan yang ditawarkan di bawah syarikat miliknya sebelum ini.
Hal ini kerana, Kim Seri atau pemilik nama sebenar Seri Azlina berkata dia belum dapat membuat semula pembayaran seperti yang dijanjikan.
“Saya mohon maaf kepada semua yang menunggu 1 Februari untuk mendapatkan semula ganti rugi, saya terlambat untuk kongsi perkembangan.
“Sekali lagi saya ingin meminta maaf kerana saya masih memerlukan sedikit masa untuk selesaikan semula pembayaran balik,” katanya dalam satu hantaran di laman sosial Instagram, hari ini.
Pempengaruh berusia 40 tahun itu juga berjanji akan berusaha lebih lagi untuk membayar semua hutang.
“Mohon maaf semua kerana terpaksa menunggu,” tambahnya.
Terdahulu, tular di media sosial video luahan seorang individu yang mendakwa dirinya menjadi mangsa penipuan pakej pelancongan milik syarikat Kim Seri.
Perkongsian itu telah mengundang pelbagai reaksi dengan rata-rata bersimpati serta meminta mangsa membuat laporan polis.
Kim Seri dalam satu kenyataan di laman sosial Instagram miliknya pada 17 Disember lalu memohon maaf kepada pelanggan terkesan dengan trip pelancongan yang tertunda di bawah syarikat miliknya.
Wanita itu memberi jaminan akan menyelesaikan semua tunggakan wang kepada mangsa sebelum atau pada 1 Februari, iaitu kelmarin. – MalaysiaGazette