Oleh: Prof. Madya Dr. Anida Sarudin
KURSUS dalam talian terbuka atau Massive Open Online Courses (MOOC) telah menjadi salah satu inovasi utama dalam pendidikan abad ke-21. Platform MOOC menawarkan pembelajaran secara fleksibel, mudah diakses, dan dapat menampung jumlah pelajar yang besar tanpa batasan geografi.
Di Malaysia, pendekatan ini selaras dengan Lonjakan ke-9 Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2015-2025 yang menggariskan pentingnya transformasi pendidikan melalui pembelajaran dalam talian bertaraf global. Melalui penggunaan MOOC, pembelajaran boleh dilakukan dengan lebih kendiri dan lebih berkesan, memberi peluang kepada pelajar dari pelbagai lapisan masyarakat untuk memperoleh ilmu secara fleksibel.
Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) khususnya melalui Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu (JBKM) di Fakulti Bahasa dan Komunikasi, telah mengambil langkah besar untuk membangunkan kursus-kursus pascasisawazah dalam bidang bahasa Melayu dan kesusasteraan Melayu menggunakan platform MOOC. Dengan pelaksanaan kursus dalam talian ini, UPSI berhasrat untuk memartabatkan bahasa dan sastera Melayu di pentas global, seterusnya memperkenalkan ilmu ini kepada masyarakat antarabangsa.
Namun, pelaksanaan kursus pascasisawazah melalui MOOC bukanlah tanpa cabaran. Salah satu isu utama adalah kekurangan pelajar pascasiswazah yang memilih untuk menyambung pengajian di Fakulti Bahasa dan Komunikasi, disebabkan oleh komitmen kerjaya mereka, terutamanya bagi golongan guru yang berkhidmat di sekolah.
Mereka menghadapi kesukaran untuk mengimbangi antara tuntutan kerja dan waktu untuk mengikuti kuliah secara sepenuh masa. Kekangan masa ini telah menyebabkan mereka sukar untuk meneruskan pengajian, sedangkan bidang ini memerlukan pemahaman mendalam tentang linguistik, pedagogi bahasa, dan kesusasteraan.
Terdapat cabaran dalam memastikan keberkesanan kursus MOOC yang ditawarkan kerana kursus dalam talian memerlukan penggunaan teknologi yang canggih dan perancangan pedagogi yang berkesan. Ia bagi memastikan pelajar dapat memahami kandungan kursus secara efektif.
Cabaran ini termasuk memastikan pembelajaran lebih interaktif dan mesra pengguna dengan integrasi bahan multimedia seperti video, audio, serta penggunaan alat kolaboratif dalam pembelajaran secara dalam talian. Oleh itu, perlunya penyediaan infrastruktur teknikal dan pengisian kursus yang relevan dan berkualiti.
Dalam menghadapi cabaran ini, Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu telah mengambil langkah proaktif dengan membangunkan kursus MOOC yang menekankan aspek pedagogi yang lebih adaptif dan berfokuskan pendekatan organik.
Kursus-kursus yang ditawarkan merangkumi pelbagai topik dalam bahasa Melayu dan kesusasteraan Melayu, seperti linguistik pendidikan, psikolinguistik, sosiopragmatik, serta tatatabahasa dalam pengajaran bahasa Melayu. Program-program ini tidak hanya melibatkan teori tetapi juga memberi ruang untuk penerapan praktikal melalui kajian kes dan penyelidikan.
Program pendidikan ini juga menyentuh aspek pedagogi lanjutan dalam bahasa Melayu, kaedah penyelidikan kualitatif dan kuantitatif, serta kaedah pengajaran dan pembelajaran Kesusasteraan Melayu. Melalui pendekatan MOOC, UPSI berusaha menyediakan platform pembelajaran yang menggabungkan teknologi terkini, memastikan pelajar mempunyai akses yang luas kepada bahan-bahan pendidikan, serta ruang untuk berinteraksi dengan pelajar dari seluruh dunia.
Ini tidak hanya memudahkan pembelajaran bagi pelajar yang sudah bekerja, tetapi juga memberi peluang kepada mereka yang tidak mempunyai akses kepada pendidikan tinggi dalam bidang ini untuk belajar dan mendalami ilmu bahasa dan sastera Melayu. UPSI juga menyediakan penyediaan kursus secara hibrid yang menggabungkan pembelajaran bersemuka dan dalam talian.
Ini memberikan fleksibiliti kepada pelajar untuk mengakses kursus mengikut keselesaan mereka, dengan tayangan video secara sehala yang mudah difahami, serta aktiviti pembelajaran yang lebih interaktif. Dengan penilaian berterusan dan sokongan teknikal yang disediakan, pelajar dapat menilai kemajuan mereka sepanjang kursus dijalankan.
Melalui penggunaan platform MOOC, pelajar tidak hanya mendapat pengetahuan teori tetapi juga kemahiran praktikal yang boleh diaplikasikan dalam bidang pengajaran bahasa Melayu. Pembelajaran dalam talian ini memberi kebebasan kepada pelajar untuk mengatur masa mereka sendiri.
Dengan adanya video kuliah, bahan bacaan dalam talian, dan tugasan yang boleh dihantar mengikut masa yang ditetapkan, pelajar dapat mengatasi masalah masa dan lokasi yang menghalang mereka daripada mengikuti kursus secara bersemuka. Penggunaan teknologi seperti forum perbincangan juga membolehkan pelajar berinteraksi dengan pensyarah dan sesama pelajar, menjadikan pembelajaran lebih dinamik dan menyeluruh.
Selain itu, kursus dalam talian juga membolehkan UPSI mengukur keberkesanan pengajaran mereka secara lebih objektif. Sistem penilaian dalam talian membolehkan data pembelajaran pelajar dianalisis dengan lebih telus, membantu pensyarah untuk mengenal pasti kekuatan dan kelemahan pelajar dalam memahami kursus. Melalui maklum balas segera yang diberikan oleh sistem, pelajar dapat memperbaiki kelemahan mereka dengan lebih cepat.
MOOC bukan sahaja memberi manfaat kepada pelajar pascasiswazah yang bekerja, tetapi juga memberi peluang kepada masyarakat luas untuk mendalami ilmu bahasa Melayu dan kesusasteraan Melayu secara fleksibel. Dengan mengintegrasikan teknologi dalam pembelajaran, UPSI mampu memastikan ilmu ini terus berkembang dan diterima oleh generasi masa hadapan di seluruh dunia.
Inisiatif ini bukan sahaja memperkasakan pendidikan bahasa Melayu, tetapi juga menjadi platformbagi perkembangan ilmu dan budaya yang lebih global. Pelaksanaan pelbagai kursus berkaitan bahasa dan kesusasteraan Melayu melalui platform MOOC di UPSI adalah langkah penting dalam memperkenalkan ilmu bahasa Melayu dan kesusasteraan Melayu ke pentas global.
Ini selari dengan hasrat visi Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Md Amin Md Taff untuk menjadikan universiti ini sebagai rujukan terulung dalam platform pendidikan negara, khususnya bidang bahasa.
Penulis adalah Ketua Editor Jurnal Pendeta
Fakulti Bahasa dan Komunikasi, UPSI