KUALA LUMPUR – Para wakil rakyat mempunyai tanggungjawab utama untuk memastikan perbahasan di Parlimen kekal konstruktif berasaskan data serta tertumpu kepada pembangunan negara dan kesejahteraan rakyat.
Dalam satu kenyataan hari ini, Kelab Penyokong Kerajaan Madani (BBC) menegaskan, kelab itu akan menolak sebarang bentuk perbahasan yang hanya bersandarkan retorik politik atau kepentingan parti semata-mata.
“Hal ini sejajar dengan titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang menggesa Ahli Parlimen agar tidak mempolitikkan setiap isu.
“Parlimen perlu menjadi medan perbincangan yang matang dan bertanggungjawab, bukan pentas untuk menabur sentimen politik yang memecahbelahkan dan tidak membawa penyelesaian kepada rakyat,” katanya.
BBC turut menekankan peranan mereka sebagai mekanisme semak dan imbang dalam kerajaan di mana perana mereka tidak hanya terhad kepada menyokong dasar kerajaan, tetapi menyuarakan kebimbangan serta mengkritik secara membina apabila perlu.
Bagi memperkukuh budaya Parlimen yang matang dan bertanggungjawab, BBC memperkenalkan beberapa inisiatif termasuk ‘Sarapan Bersama Menteri’, ‘Friends of Ministry’ dan sesi taklimat Parlimen yang lebih tersusun.
“Inisiatif ini bertujuan untuk memastikan Ahli Parlimen memahami dasar dengan lebih mendalam, sekali gus menjadikan perbahasan lebih berkualiti dan memberi penyelesaian yang nyata kepada isu rakyat.
“Selain itu, langkah ini juga membantu Ahli Parlimen menyampaikan maklumat kepada rakyat secara lebih jelas, mengelakkan kekeliruan serta mengurangkan unsur sensasi politik yang tidak wajar,” tambahnya.
Sehubungan itu, BBC menyeru semua Ahli Parlimen, tanpa mengira latar belakang politik, untuk bersama-sama menjunjung integriti Parlimen dengan mengutamakan perbahasan yang berasaskan fakta dan kepentingan negara.
Mereka percaya bahawa melalui kerjasama semua pihak, institusi demokrasi negara dapat diperkukuh dan Malaysia dapat terus maju sebagai sebuah negara yang progresif, inklusif dan bersatu padu. – MalaysiaGazette