TEMERLOH – Strategi skuad Sri Pahang FC menggunakan tiga formasi serentak pada aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia membuahkan hasil, selepas menundukkan Sabah FC dengan keputusan 2-1 di laman sendiri, malam tadi.
Pengendalinya Fandi Ahmad berkata ketiga-tiga formasi tersebut direncanakan buat para pemainnya bagi menyekat kemaraan pasukan pelawat ke arah kubu pertahanan Sri Pahang.
“Perancangan awal kita ialah menekan pemain lawan di tempat mereka, sebab itu kita menggunakan formasi 4-4-2 apabila menyerang, formasi 4-3-3 apabila di tengah dan 4-5-1 apabila berada di belakang.
“Justeru, ini menyukarkan mereka untuk masuk ke kawasan kita pada separuh masa pertama, tetapi situasi kemudiannya berubah apabila kita melakukan pertukaran pemain dan mereka pula mula melakukan hantaran jauh,” katanya pada sidang media sejurus tamat perlawanan.
Sebelum meraih kemenangan malam tadi, Sri Pahang yang terkenal dengan jolokan skuad Tok Gajah terikat 1-1 dengan Sabah pada aksi separuh akhir pertama di Stadium Likas pada 18 Jan, sekali gus menjadikan keputusan agreget 3-2.
Legenda Singapura itu berkata pujian harus diberikan kepada anak buahnya kerana mempamerkan disiplin yang tinggi dan berjuang bermati-matian untuk meraih kemenangan meskipun terpaksa bermain pada waktu tambahan.
Beliau berkata ini terbukti apabila banyak peluang berjaya dicipta Sri Pahang di padang dan dua jaringan gol, mengesahkan tiket mereka ke final selepas kali terakhir melangkah dan merangkul piala berprestij itu pada 2014.
“Saya sangat gembira semua pemain sudah beri yang terbaik dan sebelum itu, saya beritahu mereka kita tidak boleh kalah di depan penyokong sendiri, kita juga cuba elak bermain pada waktu tambahan sebab pasti ada yang cedera atau kejang.
“Saya juga memotivasikan pemain dengan minta mereka fokus (dan) jika mahu lakar sejarah, malam inilah kita buat apabila masuk ke final orang akan ingat,” katanya.
Sementara itu, Ketua Jurulatih Sabah FC Martin Stano akur dengan kehebatan gergasi Pantai Timur itu dan mengakui pasukan kendaliannya sudah tampil cemerlang sepanjang tempoh 120 minit perlawanan.
“Walaupun Sri Pahang melakukan jaringan awal, kami berjaya bangkit menyamakan keputusan sehingga memaksa perlawanan berlangsung pada waktu tambahan.
“Ia satu aksi yang amat sukar di tempat lawan dengan dipenuhi penyokong mereka. Saya sudah tentu tidak boleh mengadu tentang prestasi pemain kerana bermain amat baik sehingga wisel penamat ditiupkan,” katanya.
Setelah disingkirkan daripada pentas final, pengendali dari Slovakia itu bagaimanapun, optimis anak buahnya mampu untuk melakar sesuatu pada musim ini iaitu sekurang-kurangnya berada tiga tangga teratas Liga Super. – BERNAMA