Foto IG Ziana Zain.

KUALA LUMPUR – Penyanyi popular, Ziana Zain enggan memberi komen berhubung kesahihan dirinya dipanggil  Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk siasatan rentetan kes melibatkan sebuah syarikat perunding kewangan.

“No komen, saya hanya menyanyi sahaja,” katanya malam tadi.

Ziana atau nama sebenar Siti Roziana Zain,56, ditemui media dalam rakaman video selepas tamat program Calpis Soda One In A Million, di Studio TV3, Glenmarie.

Ibu tunggal itu bagaimanapun bersikap profesional apabila memahami tugas media untuk mendapatkan penjelasannya tentang isu yang semakin hangat diperkatakan itu.

“Tak mengapa, saya faham,” katanya sambil bergegas meninggalkan acara.

Ziana merupakan  merupakan salah seorang daripada tiga duta yang dilantik sebuah syarikat yang tumpas dalam Ops Sky.

Semalam, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan pihaknya akan memanggil beberapa selebriti termasuk artis terkenal yang dikaitkan dengan syarikat perunding kewangan yang tumpas dalam Ops Sky.

Katanya, selebriti terbabit akan dipanggil minggu depan untuk membantu siasatan.

Sejak tiga minggu lalu, SPRM menumpaskan kegiatan rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan syarikat perunding kewangan dengan pegawai bank di beberapa institusi kewangan.

Dalam operasi itu, sebanyak 98 akaun syarikat dan individu bernilai lebih RM22 juta dibekukan SPRM berhubung sindiket pengubahan wang haram didalangi syarikat perunding kewangan.

Siasatan terhadap selebriti berkenaan susulan penahanan sekurang-kurangnya 27 individu termasuk lapan pengarah syarikat dan 18 pegawai bank oleh Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) dalam Ops Sky hasil kerjasama Bank Negara Malaysia (BNM). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here