Pegawai kadet Akademi Latihan Ketenteraan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, Amirul Iskandar Norhanizan didakwa atas pertuduhan mencederakan juniornya menggunakan seterika wap panas ketika di Mahkamah Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL,, 08 NOVEMBER 2024.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen di sini, hari ini menetapkan 3 Mac 2025 bagi sebutan kes seorang pelajar Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang didakwa menyebabkan kecederaan terhadap pegawai kadet menggunakan seterika wap panas.

Hakim Egusra Ali menetapkan tarikh itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Nadia Eleena Jamaluddin memaklumkan pihaknya telah selesai menyerahkan dokumen perubatan kepada pihak pembelaan.

Manakala peguam mewakili tertuduh, Ramkarpal Singh mengesahkan pihaknya sudah menerima laporan berkenaan dan memerlukan masa sekurang-kurangnya sebulan untuk mengkaji dokumen itu sebelum perbicaraan.

Ketika prosiding, tertuduh, Amirul Iskandar Norhanizan, 22, dilihat hadir bersama keluarga.

Pada 8 November lalu, Amirul Iskandar didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas Muhammad Salman Mohd. Saiful Surash, 20, menggunakan seterika wap panas.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah bilik di blok Akademi Latihan Ketenteraan UPNM, Kem Sungai Besi di sini pukul 11.45 malam pada 22 Oktober lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau dengan mana–mana dua daripada hukuman itu.

Mahkamah ketika itu membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan dua penjamin berserta syarat tambahan tertuduh dilarang mengganggu saksi-saksi pendakwaan.

Sebelum ini, media melaporkan mangsa telah ditekap dengan seterika pada bahagian dada selepas diminta menggosok baju kerja milik seniornya dalam bilik asrama universiti berkenaan 22 Oktober lalu. – MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here