KUALA LUMPUR – Sebanyak 85 peratus rakyat tidak akan terkesan dengan kenaikan kadar tarif elektrik yang akan berkuat kuasa pada Julai ini, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sebaliknya menurut Perdana Menteri, kenaikan kadar tarif elektrik itu hanya melibatkan sektor industri mengikut kaedah Imbalance Cost Pass-Through (ICPT) serta sebahagian golongan `maha kaya’.
Tegas beliau, kenaikan kadar tarif elektrik pada kadar kurang daripada 14 peratus itu disifatkan munasabah dalam usaha kerajaan menambah peruntukan bagi pembangunan seperti sekolah dan hospital.
“Kita kena terima kenyataan kenaikan tarif yang munasabah bagi industri dan golongan maha kaya ini.
“Saya sebut depan peniaga-peniaga semalam, kita tidak akan tolak ansur, kita terpaksa naikkan, tetapi tidak melibatkan 85 peratus rakyat, dengar betul-betul, bukan dengar dengan perasaan marah, ini masalah dia,” katanya dalam sesi pertanyaan Menteri pada sidang Dewan Rakyat, hari ini.
Anwar (PH-Tambun) menjawab soalan tambahan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) yang mendakwa kerajaan `flip flop’ berhubung dasar kenaikan tarif elektrik sehingga mengelirukan banyak pihak.
Sementara itu, Anwar menegaskan, kerajaan sudah menegur Tenaga Nasional Berhad (TNB) berhubung pengumuman kenaikan kadar tarif elektrik sebelum ini yang dibuat secara umum.
“Saya katakan kita patut cerakinkan, apa dia untuk kategori yang dinaikkan.
“Jadi saya tegaskan semula kenaikan kadar elektrik untuk industri akan berlaku mengikut kaedah ICPT mulai Julai ini.
“Sebanyak 85 peratus rakyat tidak akan terkesan dengan kenaikan ini,” katanya. – MalaysiaGazette