KUALA LUMPUR – PMB Investment Berhad (PMB Investment) mengumumkan agihan pendapatan bagi PMB Shariah Global Equity Fund sebanyak 1.00 sen seunit, berjumllah RM106,896.25 untuk tahun kewangan yang berakhir pada 31 Januari 2025.
Pengagihan ini telah dikreditkan kepada pemegang unit berdasarkan tarikh selepas 31 Januari 2025, dengan tarikh pelaburan semula ditetapkan pada 1 Februari 2025.
Pengagihan ini mewakili hasil sebanyak 1.80% untuk tahun kewangan tersebut, dengan mencatatkan pulangan keseluruhan sebanyak 2.66% dalam tempoh yang sama.
Ketua Pegawai Pelaburan PMB Investment Hang Tuah Amin Tajudin, berkata, dengan pulangan yang memberangsangkan sebanyak 23.75%
dalam tempoh tiga tahun yang berakhir pada 31 Januari 2025, PMB Shariah Global Equity Fund konsisten memberikan hasil yang kukuh.
Ini mencerminkan daya tahan dana ini dan keupayaannya untuk mengharungi keadaan pasaran global yang dinamik dengan berkesan.
Dana ini bertujuan untuk mencapai pertumbuhan modal dalam jangka sederhana hingga panjang dengan melabur dalam portfolio pelbagai sekuriti patuh Syariah yang tersenarai di pasaran global.
Dalam keadaan biasa, dana ini memperuntukkan 70% hingga 99.5% daripada Nilai Aset Bersih kepada ekuiti patuh Syariah dan sekuriti berkaitan ekuiti, dengan baki dilaburkan dalam instrument pasaran wang Islam, deposit Islam, dan pelaburan patuh syariah yang lain. – MalaysiaGazette