Panglima Angkatan Tentera ke-23, Jeneral Datuk Mohd Nizam Jaffar (tengah) bercakap ketika sidang media sempena majlis Sambutan Mula Tugas dan Ucaptama Panglima Angkatan Tentera ke-23 di Wisma Pertahanan , Kuala Lumpur. Foto HARI ANGGARA, 04 FEBUARI 2025

KUALA LUMPUR – Sesi townhall akan diadakan bersama veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk berbincang dan mendengar tuntutan golongan berkenaan mengikut keperluan semasa.

Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jeneral Datuk Mohd Nizam Jaffar berkata, townhall itu juga akan menjadi platform untuk ATM memberi penjelasan berkenaan insiatif semasa Kementerian Pertahanan untuk membantu mereka.

“Dalam sesi ini kami akan mendengar apa yang ingin diutarakan dan kami akan memaklumkan inisiatif terkini yang kami ada dan menjelas, merungkaikan masalah.

“Mungkin selama ini pendekatan secara terus itu tidak berlaku menyebabkan terlalu banyak rungutan di luar seolah-olah kami tidak peka langsung dengan rintihan yang disuarakan veteran.

“Jadi sesi ini ‘once for all’ (demi) memastikan mesej yang ingin disampaikan jelas dan untuk mendengar apa yang ingin mereka suarakan,” katanya ketika sidang media selepas Majlis Ucaptama PAT di Wisma Pertahanan, hari ini.

Jelasnya, pendekatan itu akan memudahkan usaha penerangan diberikan secara langsung kepada golongan veteran ATM.

“Sesi townhall ini adalah untuk menjelaskan kedudukan sekarang, lalu dan perbandingan apa yang berlaku. Sebab kebanyakan ada yang disuarakan mungkin boleh dijawab terus berbanding kita jawab di (sidang) akhbar atau di media sosial,” tambah beliau.

Katanya, beliau akan mengarahkan Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM untuk melaksanakan sesi townhall berkenaan.

Terdahulu dalam ucapannya, Mohd Nizam memberi jaminan ATM akan sentiasa membantu dan berusaha melaksanakan yang terbaik untuk para veterannya.

“Tanpa mereka, kita tidak akan mengecapi apa yang kita miliki hari ini dan sememangnya sewajibnya veteran ATM terus dihargai,”. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here