Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) tidak akan terpengaruh dengan desakan mana-mana pihak supaya parti komponen tertentu termasuk MCA disingkirkan daripada gabungan politik tersebut.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, jalinan kerjasama dalam BN ketika ini sangat jitu sama ada antara parti teras iaitu UMNO, MIC, MCA dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) serta dengan parti-parti bersekutu lain (Friends of BN).

“Kita sangat jitu dalam kekalkan rakan-rakan parti-parti teras dalam BN dan kita tidak akan pernah terpengaruh dengan mana-mana desakan untuk penyingkiran mana-mana parti komponen dalam BN,” katanya dalam sidang akhbar di bangunan Parlimen hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri ditanya berkenaan pendedahan Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong sebelum ini yang mendakwa terdapat ‘orang luar’ mencadangkan supaya UMNO menyingkirkan MCA daripada BN.

Tanpa memetik sebarang nama, dakwa Ka Siong, sesetengah pihak yang sebelum ini tidak pernah menjadi sebahagian daripada BN kini menikmati hubungan rapat dengan UMNO dan MCA sedang menunggu keputusan UMNO berhubung usaha tersebut.

Sementara itu, ditanya sama ada isu penyingkiran MCA pernah dibangkitkan di dalam mana-mana mesyuarat BN, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO menjawab: “Tidak pernah dibincangkan dalam BN…hanya mereka yang bermimpi di siang hari sahaja mencadangkan perkara itu.” – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here