BUTTERWORTH – Dalam suasana ekonomi yang mencabar, seorang usahawan tempatan mencuri tumpuan dengan menjual pakaian sekolah pada harga serendah RM5.
Inisiatif itu mendapat sambutan luar biasa apabila orang ramai berpusu-pusu ke premis perniagaan yang terletak di Jalan Telaga Air di sini, bagi mendapatkan pakaian sekolah untuk anak masing-masing.
Menurut S. Selwam, 40, berkata, jualan tersebut bertujuan untuk meringankan beban ibu bapa yang terkesan dengan kos sara hidup yang semakin meningkat sekali gus membantu mereka yang kurang bernasib baik melakukan persediaan anak ke sekolah bagi sesi akademik akan datang.
“Ini merupakan kali pertama saya buat jualan pakaian sekolah dan idea ini tercetus apabila saya mendapat lebih 20,000 helai pakaian daripada syarikat pakaian yang menutupkan perniagaan mereka.
“Setakat semalam, kira-kira 10,000 pasang baju sekolah untuk pelajar sekolah rendah dan menengah telah dijual dan saya jangkakan semua pakaian yang ada ini akan terjual dalam tempoh tujuh hari kerana sambutannya sangat luar biasa.
“Harga jualan bermula serendah RM1 hingga RM5.. untuk tudung saya jual RM1 manakala pakaian sehelai RM5 tidak kira bagi pelajar sekolah rendah atau menengah.
“Selain pakaian, kami turut menjual kasut sekolah pada harga RM5 sepasang. Namun 1,000 pasang kasut habis terjual dalam tempoh sehari pada Sabtu lalu kerana ada pihak membeli secara borong untuk didermakan kepada golongan kurang berkemampuan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui hari ini.
Tambah Selwam, dia berharap jualan ini bukan sahaja dapat membantu orang ramai tetapi memberi inspirasi kepada ramai pihak untuk terus berusaha memberi sumbangan kepada masyarakat menerusi jualan murah sebegini.
Sementara itu, tinjauan MalaysiaGazette mendapati rata-rata pembeli meluahkan rasa syukur kerana jualan sebegini dapat mengurangkan kos ditanggung mereka yang biasanya mencecah ratusan ringgit.
Muhammad Hafiz Lahman, 37, mengaku dia sering berbelanja besar untuk kelengkapan sekolah anak-anaknya sebelum ini.
Namun, dengan adanya jualan ini dia merasa dapat menjimatkan wang.
“Sebelum ini ratus juga la saya belanja untuk pakaian sekolah anak-anak tapi dengan jualan RM5 ni, saya boleh jimat banyak.
“Tak perlu lagi risau sangat nak beli buku dan kelengkapan sekolah yang lain. Memang sangat membantu,” kata bapa kepada dua anak.
Bukan hanya Hafiz yang merasa lega, Ros Abdullah, 43, dari Penanti, Kubang Semang, turut berkongsi pendapat sama.
“Jualan pakaian sekolah serendah RM5 ini tak pernah lagi saya lihat di mana-mana tempat dan ini memang membantu mengurangkan kos yang selama ini memeningkan kami sekeluarga.
“Anak saya seorang belajar Tahun 4 manakala seorang lagi Tingkatan 4 jadi bila kita jimat beli pakaian duit baki yang ada boleh digunakan untuk membeli buku termasuk yuran tambahan lain,” katanya.
Sementara itu, P. Shamala, 45, seorang guru yang mengetahui tentang jualan ini melalui TikTok, turut berpendapat jualan tersebut sangat memberi manfaat kepada ibu bapa yang sedang bergelut dengan kos tinggi menjelang pembukaan sekolah.
“Kalau ikutkan, biasanya saya perlu belanja lebih RM300 untuk beli kelengkapan sekolah untuk tiga anak saya tapi dengan jualan ini, saya hanya belanja RM100 sahaja.
“Jualan pakaian sekolah ini bukan sahaja memberi manfaat dari segi kewangan, tetapi turut memberikan kelegaan kepada ibu bapa yang menghadapi cabaran kewangan menjelang sesi persekolahan yang baru,” katanya. – MalaysiaGazette