GEORGE TOWN – Sebahagian jalan di kawasan Jalan Pengkalan Weld akan ditutup secara berperingkat bermula esok hingga Khamis sempena sambutan Tahun Baharu Cina di Jetty Chew di sini esok.
Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dalam kenyataan hari ini memaklumkan penutupan fasa pertama melibatkan satu lorong Jalan Pengkalan Weld iaitu Gat Lebuh Chulia hingga Gat Lebuh Acheh bermula 10 pagi esok hingga 1 pagi Khamis.
“Fasa dua turut membabitkan tempoh masa sama dan ia melibatkan sebahagian Jalan Pengkalan Weld iaitu Gat Lebuh Chulia hingga Gat Lebuh Melayu, Gat Lebuh Armenian iaitu Pengkalan Weld hingga Lebuh Victoria serta Gat Lebuh Acheh iaitu Pengkalan Weld hingga Lebuh Victoria,” katanya.
Sehubungan itu, MBPP meminta semua pengguna jalan raya merancang perjalanan dan menggunakan laluan alternatif di kawasan terlibat sempena sambutan tersebut. – MalaysiaGazette