Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjawab pertanyaan pada Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 04 FEBRUARI 2025.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) akan mengumumkan harga lantai padi baharu pada minggu depan, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam masa sama, menurut Perdana Menteri, kerajaan juga akan menampung subsidi berjumlah kira-kira RM150 juta sepanjang tempoh enam bulan bagi memastikan kenaikan harga lantai padi tidak membebankan golongan pengguna.

“Minggu depan, Menteri (KPKM) akan beri penjelasan, kerana kita tidak mahu dalam masa sama kenaikan harga lantai padi ini akan sebabkan kenaikan harga beras bagi pengguna.

“Kita juga akan tambah RM150 juta minimum enam bulan supaya kos pengeluaran padi tidak naik.

“Kita tidak boleh bicara untuk satu pihak, mempertahankan pengguna tetapi memangsakan pesawah atau menaikkan pesawah tetapi memangsakan pengguna, sebab pengguna yang miskin daripada B40 juga ramai.

“Jadi sebab itu saya umum tadi, minggu depan Menteri (KPKM) akan beri penjelasan dengan pengumuman harga kenaikan yang munasabah dengan subsidi daripada kerjaaan yang bertambah,” katanya dalam sesi jawapan Menteri pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Anwar (PH-Tambun) menjawab soalan tambahan Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee (PN-Beluran) berkenaan desakan daripada golongan pesawah supaya harga lantai padi dinaikkan ekoran peningkatan kos seperti anak benih dan baja serta harga diesel.

Ia juga susulan perhimpunan aman kira-kira 300 pesawah daripada Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH) di lobi bangunan KPKM baru-baru ini, yang mendesak supaya harga lantai padi dinaikkan daripada RM1,300 setan metrik kepada RM1,800 setan metrik.

Dalam pada itu, Anwar berkata, kerajaan dalam usaha meningkatkan produktiviti pengeluaran padi turut meluluskan peruntukan sebanyak RM1 bilion kepada Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA).

Jelas beliau, peruntukan itu yang bakal diterima hujung bulan ini bertujuan supaya kawasan sawah padi di bawah MADA dapat meningkatkan produktiviti pengeluaran untuk memenuhi 70 peratus keperluan padi tempatan berbanding hanya sekitar 56 peratus ketika ini.

Dalam pada itu, Anwar menempelak pembangkang yang disifatkan seolah-olah cuba menjadi hero dalam isu pengeluaran padi dan membela nasib pesawah termasuk Ketua Pembangkang, Datuk Hamzah Zainudin yang bangkit mencelah ketika sesi jawapan Menteri pagi ini.

Sedangkan, menurut Anwar, kerajaan pada dua tahun sebelum ini sudah menaikkan harga lantai padi untuk membantu pesawah selain menyediakan peruntukan sebanyak RM2.4 bilion bagi membantu sektor tersebut.

“Saya akui memang ada masalah pesawah padi, ini yang disebut penanam padi kelompok paling miskin, sebab itu kita tambah (bantuan dan peruntukan).

“Tapi soalnya bila nak jadikan ini medan politik seolah-olah mereka (pembangkang) sahaja pejuang, itu yang saya pertikaikan.

“Kalau benar kamu (pembangkang) pejuang, kenapa kamu tak buat sebelumnya? Masa ada kuasa kita leka, masa tidak ada kuasa jerit kata kita tak buat.

“Saya nak sebut di sini, kita ada kuasa hari ini, saya akan akan lakukan apa yang termampu termasuk tambahan RM1 bilion di Kedah untuk kawasan MADA yang tidak dibuat dan tidak difikirkan sebelum ini,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here