PETALING JAYA – Kertas siasatan terhadap pelawak dan pelakon, Harith Iskander dan seorang lagi individu dikenali sebagai ‘Cecelia Yap Song’ akan diserahkan kepada Pendakwa Raya, Khamis ini.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pihaknya telah merakam keterangan Harith pada 22 Januari lalu.
“Siasatan masih berjalan dan kita (polis) akan serah (kertas siasatan isu ham) kepada penndakwa raya, Khamis ini,” katanya kepada wartawan selepas menghadiri majlis penutup Op Selamat Tahun Baharu Cina di Persada Plus, pagi tadi.
Pada 24 Januari lalu, Razarudin berkata, polis sudah merakam keterangan Harith berhubung hantaran di akaun Facebooknya mengenai isu ‘ham’ yang didakwa menghina agama Islam.
Polis juga telah mengenal pasti identiti seorang lagi individu dikenali sebagai ‘Cecelia Yap Song’ yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes itu.
Siasatan dibuat di bawah Seksyen 298 dan Seksyen 505 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Sebelum ini, Harith, 54, memuat naik hantaran serta sekeping gambar menunjukkan segelas kopi dinamakan ‘ham’ sap kopi berharga RM5.50.
“Saya begitu keliru. Iman saya tergugat. Kopi ini akan membawa saya ke jalan yang salah dalam pelbagai cara.
“Bukan sahaja menggoda saya untuk menjadi hamsap, tetapi juga membuat saya keliru dengan perkataan ‘ham’ di dalamnya. Ini untuk diminum atau dimakan?.
“Saya mesti buat laporan polis kerana saya terlalu lemah sehingga hilang semua kemampuan untuk berfikir secara logik. Siapa lagi yang keliru?”, tulisnya dalam hantaran berkenaan.
Kemudiannya dikomen oleh Cecelia Yap Song KL dengan kenyataan: “All names with Mohammad… got to be renamed then”. – MalaysiaGazette