JOHOR BAHRU – Kadar kemalangan sepanjang Op Selamat 23/2025 sempena Tahun Baharu Cina menurun sebanyak 52 kes atau 4.5 peratus berbanding kes yang direkodkan pada operasi sama, tahun lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar berkata, operasi selama enam hari bermula 28 Januari itu mencatatkan 1,169 kes berbanding 1,221 kes pada Op Selamat 21/2024.
“Kemalangan maut mencatatkan penurunan sebanyak lima kes atau 62.5 peratus iaitu lapan kes berbanding 13 kes tahun lalu.
“Kes kematian juga menunjukkan penurunan sebanyak lapan kes iaitu lapan kes pada Op Selamat 23/2025 berbanding 16 kes pada Op Selamat 21/2024.
“Melalui kaedah ‘total enforcement’ yang dijalankan, JSPT Johor juga berjaya menahan seramai 40 pesalah trafik atas pelbagai kesalahan dan seramai 23 orang ditangkap bawah Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu bawah pengaruh alkohol dan melebihi had yang dibenarkan.
“Seramai 15 orang pula ditangkap bawah Seksyen 42 APJ 1987 kerana memandu secara melulu dan merbahaya,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Menurut beliau, selain daripada penguatkuasaan, JSPT Johor menerapkan konsep advokasi dan hasilnya kesedaran masyarakat terhadap peraturan lalu lintas dilihat kian meningkat.
“Justeru, dalam Op Selamat kali ini, sebanyak 11,645 keping saman dikeluarkan berbanding 23,386 keping saman pada tahun lalu.
“Jumlah ini menunjukkan penurunan sebanyak 11,741 keping saman yang mana kesalahan utama yang dikenal pasti adalah memandu melebihi had laju iaitu sebanyak 3,963 saman,” jelasnya.
Bagi kempen Rumah Selamat pula, pihaknya menerima 542 laporan balik kampung melalui aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP) dan borang balik kampung yang didapati dari balai-balai polis berhampiran.
Katanya, sebanyak 3,505 lawatan serta rondaan telah dijalankan dan tiada kes pecah rumah direkodkan sepanjang tempoh berkenaan.
“Kejayaan Op Selamat 23/2025 kali ini membuktikan komitmen polis Johor serta kolaborasi murni antara polis dan masyarakat dalam menentukan keselamatan dan kesejahteraan terjamin,” katanya. – MalaysiaGazette