Thayalan bersama teman wanitanya didenda RM17,000 dan kerja khidmat masyarakat selama 440 jam atas kesalahan mengabai dan menyebabkan kecederaan anak kandung lelakinya

JOHOR BAHRU – Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini menjatuhkan hukuman denda RM17,000 dan kerja khidmat masyarakat selama 440 jam terhadap pemandu van kilang dan teman wanitanya atas kesalahan mengabai dan menyebabkan kecederaan kepada anak kandung lelaki terbabit.

Ini berikutan kedua-dua tertuduh didakwa meninggalkan dan mengurung seorang kanak-kanak berusia tujuh tahun empat bulan dalam bilik air tanpa diberikan makanan dan minuman mencukupi sehingga mangsa mengalami malnutrisi dan kurus kering, dua tahun lalu.

Hakim Thalha Bachok@Embok Mok membuat keputusan berkenaan selepas R Thayalan, 39, dan teman wanitanya, K Mageswari, 41, mengaku bersalah atas pertuduhan pindaan yang dibacakan di mahkamah, hari ini.

Mengikut kertas pertuduhan pindaan itu, Thayalan yang juga bapa mangsa serta teman wanitanya secara bersama-sama didakwa telah meninggalkan mangsa tanpa persediaan pengawasan dan pemeliharaan berpatutan.

Kedua-duanya dituduh mengikut Seksyen 33 (1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman denda maksimum RM20,000 atau penjara maksimum lima tahun, atau kedua-duanya sekali.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Maisarah Hassan manakala kedua-dua tertuduh diwakili P Rajagunaseelan.

Terdahulu dalam hujahannya, Timbalan Pendakwa Raya memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berbentuk pengajaran kepada kedua-dua tertuduh sekali gus menghindarkan masyarakat mengulangi kesalahan menganiayai kanak-kanak.

Katanya, mangsa ketika kejadian adalah seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun empat bulan, yang ditinggalkan dalam bilik air dan dikunci tanpa diberi makanan dan minuman mencukupi sehingga mangsa menjadi kurus kering.

“Mangsa ketika diselamatkan berada dalam keadaan tidak bermaya sebelum dikejarkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA).

“Pegawai perubatan kemudian mengesahkan mangsa menghadapi malnutrisi kerana ditinggalkan dan dibiarkan tanpa makanan dan minuman mencukupi.

“Seorang kanak-kanak kecil ditinggalkan tanpa cukup makanan amatlah menyayat hati apatah lagi hubungan tertuduh pertama adalah bapa kandung yang sepatutnya bertanggungjawab memberi makanan dan minuman yang mencukupi namun dalam kes ini, tertuduh membiar dan tinggalkan mangsa kelaparan,” hujahnya.

Timbalan Pendakwa Raya turut membacakan kenyataan impak mangsa yang kini di bawah jagaan ibu kandungnya di Selangor, yang menyatakan dia kini trauma ke sekolah atau ke mana-mana.

“Saya sebelum ini tinggal bersama bapa dan teman wanitanya yang dipanggil kakak. Kakak paksa saya minum air tandas dan hanya diberi makan sekeping roti dan sedikit nasi.

“Saya kini takut ke sekolah atau ke mana-mana kerana risau kakak cari saya lagi,” katanya dalam kenyataan impak berkenaan.

Peguam kedua-dua tertuduh memohon mahkamah menjatuhkan hukuman denda susulan tertuduh pertama hanya bekerja sebagai pemandu van kilang dengan pendapatan antara RM1,500 sehingga RM1,800.

“Tertuduh pertama juga bekerja sambilan sebagai pencuci kereta dengan menerima elaun mengikut jam manakala tertuduh kedua tidak bekerja,” katanya.

Hakim kemudian menjatuhkan hukuman denda RM8,000 kepada tertuduh pertama manakala tertuduh kedua didenda RM9,000.

Sekiranya gagal bayar denda, kedua-dua tertuduh diperintahkan dipenjara selama enam bulan.

Kedua-dua tertuduh juga diperintahkan melaksanakan kerja khidmat masyarakat masing-masing selama 200 jam dan 240 jam dan ia hendaklah dilaksanakan selama enam bulan selepas perintah berkenaan dikeluarkan.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here