Pathmanathan.

GEORGE TOWN – Penggunaan air di Pulau Pinang mencatatkan penurunan sebanyak 5 juta liter sehari (JLH) pada tahun lalu berbanding tahun sebelumnya.

Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, Datuk K. Pathmanathan berkata, meskipun penurunan ini kelihatan kecil namun ia setara dengan lebih daripada 3.33 juta botol air besar (1.5L) setiap hari dan mencapai lebih 1.8 juta meter padu dalam tempoh setahun.

Jelasnya, pengurangan ini berpunca daripada penurunan penggunaan domestik yang mencatatkan penurunan 6.4 peratus dari 503 JLH pada 2023 kepada 471 JLH pada tahun lalu.

“Hal ini menunjukkan peningkatan kesedaran rakyat Pulau Pinang terhadap penjimatan air, seiring dengan kempen ‘kurangkan 10 peratus’ yang dijalankan oleh PBAPP.

“Namun, penggunaan bukan domestik (termasuk sektor komersial, perindustrian, dan kerajaan) meningkat sebanyak 7.2 peratus dari 374 JLH kepada 401 JLH.

“Ini turut disokong dengan peningkatan dalam jumlah pengguna air berdaftar, yang naik sebanyak 15,742 individu kepada 705,528 pengguna pada 2024,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Tambah Pathamanathan, penggunaan air domestik masih menjadi penyumbang utama penggunaan air di Pulau Pinang, mencatatkan hampir 54 peratus daripada jumlah keseluruhan.

“Statistik ini menunjukkan meskipun populasi dan jumlah pengguna meningkat, terdapat kesedaran lebih tinggi dalam kalangan penduduk untuk mengurangkan penggunaan air, berkemungkinan sebagai tindak balas kepada semakan kadar domestik pada Januari 2024.

“Sehubungan itu, kita menggesa pengguna untuk terus mengamalkan langkah-langkah penjimatan air demi kelestarian sumber air di Pulau Pinang,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here