KUALA LUMPUR – Presiden Uzbekistan, Shavkat Mirziyoyev akan mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia pada 4 dan 5 Februari 2025.
Lawatan ini merupakan lawatan pertama Mirziyoyev ke Malaysia sejak dilantik sebagai Presiden Uzbekistan pada Disember 2016, kata Wisma Putra, Kementerian Luar Negeri.
Beliau akan diiringi oleh tujuh menteri Kabinet, termasuk Bakhtiyor Saidov, Menteri Luar Negeri dan pegawai-pegawai kanan kerajaan yang lain.
Mirziyoyev akan diberikan majlis sambutan rasmi di Bangunan Perdana Putera, Putrajaya pada 5 Februari 2025, diikuti dengan pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Mereka dijangka meneliti kemajuan hubungan dua hala Malaysia-Uzbekistan, terutamanya dalam perdagangan dan pelaburan, industri halal, pendidikan, kesalinghubungan dan pelancongan, susulan lawatan rasmi oleh Perdana Menteri ke Uzbekistan pada bulan Mei 2024.
Wisma Putra berkata, mereka juga akan bertukar-tukar pandangan mengenai isu-isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama, termasuk Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025.
Selanjutnya, kedua-dua pemimpin akan menyaksikan pertukaran tiga Memorandum Persefahaman (MoU), iaitu MoU kerjasama dalam bidang kesihatan,
MoU Kerjasama dalam bidang Sains Forensik, dan MoU dalam bidang budaya, serta empat pertukaran nota, iaitu dalam pengajian tinggi, latihan
diplomatik, halal dan Kastam.
Perdana Menteri juga akan mengadakan mesyuarat makan tengah hari rasmi di Kompleks Seri Perdana bagi meraikan Mirziyoyev.
Kedua-dua pemimpin turut dijangka hadir ke Forum Perniagaan Malaysia-Uzbekistan di Kuala Lumpur untuk meneroka kerjasama ekonomi dan mengukuhkan lagi hubungan perniagaan antara komuniti perniagaan kedua-dua negara.
Kedua-dua pemimpin juga akan menghadiri majlis makan malam yang dihoskan oleh Petronas.
Pada 2024, jumlah perdagangan Malaysia dengan Uzbekistan menurun sedikit sebanyak 13.2 peratus kepada RM369.8 juta (AS$80.9 juta) daripada RM426.1 juta (AS$94 juta) pada 2023.
Imbangan dagangan memihak kepada Malaysia berjumlah RM360.3 juta (AS$78.9 juta).
Pada 2024, Uzbekistan kekal sebagai rakan dagang kedua terbesar Malaysia di kalangan negara-negara Asia Tengah. – MalaysiaGazette