KUALA LUMPUR – Pusat Pengajian Pertahanan Nasional (Puspahanas) berperanan sebagai pusat kecemerlangan dalam pengajian dan penyelidikan yang mampu melahirkan pemikir strategik dan perancang pertahanan.
Panglima Angkatan Tentera (PAT), Datuk Mohd Nizam Jaffar berkata, kewujudannya sebagai institusi ilmu dan strategi memastikan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terus relevan serta berdaya saing dalam landskap keselamatan global.
“Melalui Professional Military Education (PME), latihan serta pendidikan profesional dalam melahirkan anggota yang kompeten, cekap teknikal, taktikal dan mahir memanfaatkan teknologi dalam penugasan di pelbagai penempatan,” katanya dalam Majlis Ucaptama Panglima Angkatan Tentera di Wisma Pertahanan hari ini.
Jelas Mohd Nizam, pendekatan berkenaan memenuhi keperluan pemodenan ATM, memperkukuhkan keupayaan pertahanan negara dan membentuk pemimpin berwawasan dengan nilai murni serta pemikiran strategik.
“Konsep pembelajaran yang berterusan harus difahami di dalam menzahirkan warga ATM yang berpengetahuan dan berwibawa untuk mampu membawa ketumbukan ini merentasi masa,” tambah beliau.
Dalam masa yang sama, Mohd Nizam berpendirian Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) berpotensi menjadi sebuah centre of excellence dalam bidang kepimpinan dan strategi pertahanan.
“UPNM wajar berperanan sebagai ejen untuk memperkukuhkan hubungan antara pendidikan, latihan dan keperluan strategik negara serta sebagai pusat melahirkan bakal pemimpin tentera yang berwibawa,” katanya lagi.
Sementara itu, peranan Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (Bakat) yang ditubuhkan sejak 40 tahun lalu juga masih kekal hingga kini.
Namun, katanya, semakin ramai ahlinya yang hilang minat.
Sehubungan itu, usaha memperkasakan Bakat perlu digerakkan dengan mampu aktiviti yang memberi nilai tambah kepada ahli.
“Fokus utama harus berteraskan kebajikan, pembangunan keluarga serta inisiatif yang member impak positif kepada ahlinya.
“Cogan katanya ‘Bersama Berbakti’ perlu difahami dengan mendalam ia selari dengan visinya untuk menjadi badan kebajikan yang progresif, beretika, penyayang dan berilmu. Misi Bakat pula adalah untuk mewujudkan kesejahteraan keluarga,” katanya lagi.- MalaysiaGazette